Akta elak ahli politik ‘dijual beli’ - Utusan Malaysia

Akta elak ahli politik ‘dijual beli’

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan penggubalan akta bagi menghalang ahli politik lompat parti, seterusnya mengelakkan mereka dijadikan bahan ‘jual beli’ demi kepenti­ngan politik.

Ketua Pasukan Khas De­mo­krasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Aza­lina Othman Said berkata, jika akta tersebut dikuat kuasa, ia boleh menghalang ahli Parlimen melompat parti tanpa persetujuan pengundi.

Pada masa sama katanya, akta tersebut juga boleh memelihara mana-mana ahli Parlimen yang dipecat partinya akibat perbe­zaan pendapat politik, agar di­kekalkan sebagai wakil rakyat, selagi tiada sebarang petisyen dibuat terhadap mereka.

Akta antilompat ini akan menghalang ahli Parlimen melompat parti tanpa persetujuan pengundi. Pada masa sama, jika seseorang ahli Parlimen melompat parti atau dipecat parti kerana perbezaan pendapat politik, sebagai contoh membela nasib rakyat tetapi tidak dipersetujui oleh pimpinan parti, mereka kekal sebagai ahli Parlimen selagi rakyat tidak membuat petisyen secara besar-besaran untuk menggugurkan mereka.

“Maka, ini boleh memastikan ahli Parlimen itu bukan sahaja tidak boleh dijual beli, tetapi juga tidak membela­kangi rakyat kerana parti. Rakyat yang sebenarnya diberi kuasa untuk menguasai wakil rakyat mereka,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semalam.

Azalina berkata, sekiranya akta itu dikuatkuasakan, ia wajar disokong oleh satu akta lain iaitu Akta Pemecatan Ahli Parlimen.
Hal ini, katanya demi menghormati hak asasi ahli Parlimen yang memilih untuk keluar parti atas alasan yang munasabah, seterusnya menyerahkan kuasa pemilihan kepada rakyat untuk memilih sama ada mengekalkan ahli politik tersebut, atau me­lantik wakil rakyat baharu.

“Sudah tentu setiap manusia ada hak memilih. Oleh sebab inilah yang saya fikirkan akta antilompat parti tidak seharusnya mengambil pendekatan terlalu tegas, seperti di pe­ringkat negeri dahulu apabila ahli parlimen yang melompat atau dipecat parti akan terus dikosongkan kerusinya.

“Sebaiknya, akta antilompat parti harus dilengkapkan atau disokong oleh Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana, jika seseorang ahli Parlimen melompat atau dipecat oleh parti, hak untuk menentukan sama ada beliau berhak untuk mengekalkan kerusi dikembalikan kepada pengundi,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Azalina menyarankan agar akta dana politik diper­kenalkan demi memastikan ahli politik tidak menjadi ibarat ‘lembu dicucuk hidung’ dan termakan budi pembiaya parti mereka.

Akta itu juga, antara lain agar mewujudkan mekanisme supaya rakyat dapat dimaklumkan mengenai penderma yang menyalurkan dana kepada pemimpin atau parti politik.

“Wakil rakyat memerlukan mekanisme yang lebih telus untuk mengumpul dan mem­belanjakan dana dan juga untuk mengelakkan kebergantungan parti dan ahli politik kepada dana swasta, sehinggakan ahli parlimen seperti lembu dicucuk hidung oleh penderma.

“Ini bukan untuk mengayakan parti atau individu, tetapi untuk memastikan parti tidak terhutang budi untuk mendapatkan dana bagi pembiayaan kos jentera dan tenaga kerja dalam pilihanraya dan perjalanan kerja parti.
“Yang penting, dimaklumkan pada umum siapa pen­dermanya dan isu rasuah tersi­rat atau tersurat tidak dikaitkan dengan orang politik,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×