Lima fokus utama Bajet 2022 - Utusan Malaysia

Lima fokus utama Bajet 2022

Kerajaan disaran menumpukan lima fokus utama dalam Belanjawan 2022 bagi membantu rakyat dan negara bangkit selepas pandemik Covid-19. Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima fokus uta­ma meliputi aspek memban­tu rakyat mengharungi pasca­pandemik Covid-19 harus di­rang­kumi dalam Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

Bercakap kepada Utusan Ma­­lay­sia, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, lima fokus ter­sebut ialah menarik kemasukan pelabur asing, menyediakan peluang pekerjaan, menurunkan kadar cukai, mengurangkan cu­kai jualan dan perkhidmatan (SST) dan memberi subsidi bayaran tenaga elektrik, internet serta sewaan premis.

Menurut beliau, walaupun ke­rajaan telah menawarkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi se­­­panjang pan­demik, pelaksa­naannya bersifat sementara menyebabkan rakyat dan majikan terus berdepan isu aliran tunai.

Justeru, katanya, menerusi Be­lanjawan 2022, kerajaan perlu terus menawarkan pelbagai pakej rangsangan yang lebih baik, pertamanya mencari jalan menarik pelabur asing bagi merancakkan semula industri negara.

Seterusnya, kata beliau, daripada kemasukan pelabur asing, akan lebih banyak peluang pekerjaan terbuka buat rakyat yang ketika ini ramai menganggur aki­­bat terlalu banyak sekatan dilak­sana­kan ketika pandemik.

“Selain itu, MEF menyarankan kerajaan turun kadar cu­kai korporat dan cukai individu kepada 18 peratus agar inisiatif tersebut dapat menye­marakkan semula kegiatan eko­nomi domestik.

“Penurunan kadar cukai pendapatan individu juga akan secara umumnya dapat mening­katkan kuasa membeli selaras dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk meningkatkan kuasa membeli rakyat,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Dr. Syed Hussin berkata, kerajaan seterusnya disarankan mempertimbangkan untuk menangguhkan atau paling kurang menurunkan kadar SST bagi membolehkan pemain industri, peniaga dan rakyat menarik nafas selepas sengsara dengan kemerosotan jualan membabitkan semua barangan.

“Seterusnya, subsidi kepada pengguna untuk bayaran tenaga elektrik, air, internet dan bayaran sewaan premis juga harus diteruskan sehingga keadaan ekonomi negara benar-benar stabil,” kata beliau.

Kelmarin, Kementerian Kewangan dalam kenyataan melaporkan kerajaan sedang merangka Belanjawan 2022 berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada pandemik.

Kementerian Kewangan turut menerbitkan Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 dan Kertas Konsultasi Awam (KKA) buat pertama kali bagi mening­katkan ketelusan proses me­rangka belanjawan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, sejak pandemik, semua golongan terjejas justeru pembenta­ngan belanjawan kali ini juga perlu mengambil kira bantuan berterusan bagi membaiki semula kehidupan rakyat.

Menurut beliau, belanjawan berkenaan juga tidak harus mengabaikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendepani cabaran.

Malah kata Mohd. Yusof, kesinambungan bentuk-bentuk bantuan sama ada wang tunai atau sebaliknya wajar diteruskan dalam Belanjawan 2022.

“Dalam keadaan sekarang, kita harap Belanjawan 2022 adalah mesra rakyat bagi membantu semua lapisan masyarakat dapat meneruskan kehidupan.

“Sektor perniagaan memerlukan inisiatif-inisiatif bagi membantu mereka meningkatkan semula dan menghidupkan kembali perniagaan.

“Malah bantuan wang tunai walaupun sedikit untuk individu, sekurang-kurangnya ia diteruskan bagi membolehkan mereka menampung keperluan hidup,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE), Michael Tan Eng Hong berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih untuk me­merangi atau mengatasi masalah wabak dalam Belanjawan 2020.

Menurut beliau, ini berikutan sekiranya masalah wabak tidak dapat diselesaikan, maka perkara yang sama bakal berpanjangan dan semakin ramai lagi yang terkesan.

“Belanjawan 2020 perlu difokuskan meliputi B40 dan M40. Tidak kira apa sahaja, janji ada bantuan membantu rakyat meneruskan kehidupan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN