RM3.1b dibayar sebelum 10 September - Utusan Malaysia

RM3.1b dibayar sebelum 10 September

Ismail Sabri Yaakob berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi sidang video, dari rumahnya semalam setelah dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri. - FB Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 10 juta pe­nerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta go­longan bujang berkelayakan akan menerima bayaran Ban­tuan Khas Covid-19 (BKC) sebelum 10 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan ber­kaitan semalam bagi bayaran BKC dengan proses pengkreditan Fasa 1 bermula 6 hingga 10 September ini.

Katanya, bayaran itu me­man­­­faatkan seramai 10 juta pe­­n­e­rima daripada kategori mis­­kin tegar, B40 dan M40 serta go­longan bujang yang berkelaya­kan.

“BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlin­dungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan lalu. Oleh itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

“Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September dan dijangka selesai pada 10 September 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Kelayakan penerima BKC dalam golongan miskin tegar dan B40 ialah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).

Bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).

Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).

Penerima golongan B40 pula, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.

Seterusnya bagi penerima M40, isi rumah dengan kela­yakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga me­nerima sekali pembayaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×