Masalah mental era PdPR - Utusan Malaysia

Masalah mental era PdPR

IBU bapa tidak harus lepas tangan dengan membiarkan anak-anak terdedah kepada gajet tanpa pantauan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kawalan penggunaan telefon pintar ketika tempoh pandemik Covid-19 yang awalnya sekadar untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menjadi punca kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Sejak negara dilanda wabak tahun lalu hingga sekarang, kumpulan tersebut terpaksa dilengkapkan dengan gajet dan capaian internet untuk memudahkan mereka mengikuti sesi PdPR.

Sebaliknya, apa yang berlaku, pemilikan peranti dan internet tersebut turut memberi risiko kepada kumpulan pelajar itu berdepan masalah mental, tidak tahu bersosial, tertekan dan tidak cergas.

Memberitahu Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, terdapat kajian mengaitkan ketiadaan kawalan penggunaan telefon pintar dengan kesihatan mental remaja dan kanak-kanak tanpa mengira negara.

“Antaranya akan berlaku kemurungan dan keresahan kerana kumpulan tersebut sangat gemar membandingkan diri dengan gaya hidup orang lain menerusi sindrom selfie.

“Mengikut pakar psikologi, sindrom ini adalah satu amalan yang menimbulkan keresahan dan menyebabkan remaja atau kanak-kanak hilang keyakinan diri, berasa kurang sempurna dari segi fizikal dan sedih dengan aktiviti-aktiviti rakan lain yang dirasakan lebih hebat berbanding dirinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, kajian juga menunjukkan 94 peratus pengguna internet di negara ini membabitkan remaja dan tinjauan terhadap ibu bapa pula mendapati 70 peratus daripada mereka tidak menyedari anak-anak terdedah kepada perkara negatif seperti child grooming yang akhirnya membawa kepada aktiviti seksual.

Selain itu, katanya, dalam kajian sama mendapati 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 18 tahun terdedah kepada pelbagai gejala negatif, kesan penggunaan telefon pintar berlebihan termasuk pendedahan kepada pornografi.

“Tinjauan menerusi laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mendapati, kebanyakan pengguna internet menghabiskan masa 6.6 jam dalam talian sehari dengan menggunakan telefon pintar,” katanya

Mohd. Ekhwan memberitahu, pada 2020 pula, Malaysia mencatatkan bacaan alamat protokol Internet (IP) tertinggi di Asia Tenggara mengakses laman sesawang pornografi kanak-kanak termasuk memuat naik dan memuat turun gambar.

“Semua data menerusi SKMM dan kajian cenderung melaporkan kanak-kanak dan remaja menuju kepada masalah mental dan sosial jika mereka terus dibiarkan menguasai peranti berserta data internet,” katanya.

Sementara itu, pakar psikologi kanak-kanak dari Universiti SEGi, Prof. Datin Mariani Md. Nor berkata, ibu bapa perlu membuat perancangan sistematik dengan menyediakan persekitaran efektif bagi memastikan perkembangan psikologi dan sosialisasi anak-anak baik walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Menurut beliau, situasi Covid-19 yang terlalu lama memang mengehadkan peluang untuk kanak-kanak bermain di taman permainan, bermain dengan anak-anak jiran dan tidak boleh bergaul di sekolah sehingga membuatkan mereka buntu.

“Menurut kajian psikologi, dunia kanak-kanak adalah bermain kerana tenaga dalam badan mereka banyak sehingga perlu diguna dengan melakukan aktiviti secara aktif.

“Namun, apa yang berlaku ketika pandemik kanak-kanak dan remaja dibekal dengan gajet untuk menghabis masa seharian mereka.

“Lama kelamaan gajet menjadi peneman golongan muda ini sehingga akhirnya mereka membesar dalam kepompong sendiri yang tidak cergas, tidak pandai bergaul apa lagi berdepan cabaran dalam dunia sebenar,” katanya.

Justeru, Mariani memberitahu, bagi menyekat arus negatif tersebut, ibu bapa suka atau tidak wajar mengenakan jadual untuk ‘masa di hadapan skrin’ atau screen time mereka setelah tamat PdPR.

Katanya, buat masa ini ibu bapa tidak banyak pilihan selain memantau obsesi anak-anak kepada gajet bagi tidak membantutkan perkembangan sosialisasi mereka termasuk tidak menjadi seorang individu yang lemah.

“Kita tidak mahu perkembangan sosialisasi mereka tidak memberangsangkan untuk dibawa sepanjang umur mereka. Maka latihan pergaulan sosial, tegur menegur, komunikasi dan bertolak ansur sangat perlu,” katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak perlu dipantau oleh ibu bapa kerana gajet tersebut disifatkan mampu menjadi ‘malaikat’ atau ‘iblis’ kepada kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, rekod SKMM pada 2018 menunjukkan terdapat 42.4 juta langganan peranti mudah alih (telefon pintar) didaftarkan berbanding dengan 32.6 juta jumlah penduduk negara ini.

Malah, analisis OpenSignal melalui kajian “Quantifying The Impact Of 5G And Covid19 On Mobile Data Consumption” mencatatkan suku pertama tahun 2021 Malaysia sebagai negara kedua tertinggi dunia dalam penggunaan purata data mudah alih sebanyak 25.7GB sebulan.

Walaupun penggunaan tertinggi dicatatkan negara Taiwan pada kedudukan pertama dunia, Malaysia mengatasi negara lain dalam penggunaan data mudah alih setiap bulan termasuk Korea Selatan, Arab Saudi, Thailand dan Kemboja.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN