PETALING JAYA: Orang ramai yang menghadapi kesukaran memperbaharui lesen memandu risau akan disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedangkan slot janji temu untuk tujuan itu sukar diperoleh selain kaunter Pos dan JPJ di beberapa kawasan didakwa kehabisan stok kad dokumen tersebut.
Tinjauan di kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ yang berdepan masalah tersebut ialah di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.
Sedangkan mana-mana pemandu yang gagal memperbaharui lesen kenderaan yang sebelum ini diberikan kelonggaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan akan disaman mulai 1 Oktober ini termasuk berdepan hukuman denda sehingga RM300.
Masalah tersebut membabitkan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) selepas tempoh lanjutan moratorium berakhir 30 September ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurus sebuah syarikat dari Rawang, Aminazwil Azwila Amran, 49, berkata, beliau sudah membuat dua janji temu di kaunter pejabat pos dekat kediamannya namun dimaklumkan tiada stok kad lesen.
“Saya tunggu tiga minggu baru berjaya mendapat tarikh janji temu tetapi apabila ke kaunter pos, senang-senang mereka kata kad lesen habis,” katanya ketika dihubungi.
Pengusaha spa, Azzyyati Azhani Hashim, 34, berkata, beliau cuba mendapatkan tarikh janji temu di pejabat pos juga di sekitar Rawang sebaik sahaja lesennya tamat 20 Julai lalu namun sehingga sekarang belum ada slot untuknya.
“Setiap hari saya cuba tiga hingga empat kali namun cawangan pos di sekitar Rawang sudah penuh untuk bulan ini, apabila cuba untuk bulan hadapan, laman web tersebut tergendala,” luahnya kecewa.
Azzyyati memberitahu, beliau tidak membuat janji temu di kaunter JPJ kerana jauh dari kawasan rumahnya.
Nasib serupa dialami pegawai eksekutif, Nurul Nazifa Noor Effendy, 25, dari Cheras, apabila cubaannya untuk memperbaharui lesen sejak awal bulan ini gagal mendapat tarikh.
“Lesen saya akan mati pada 7 Oktober, saya cuba untuk dapatkan tarikh awal sebagai langkah selamat namun hampa kerana slot penuh bulan ini dan bulan depan terus penuh. Apabila cuba hubungi pejabat pos di Cheras mereka langsung tidak angkat,” katanya
Di Sabah pula, pembantu penyelia, Nurul Syafiqah Hidin, 21, terkejut apabila cubaannya menempah janji temu bagi memperbaharui lesen di kaunter JPJ di Sandakan minggu lalu penuh sehingga tahun 2023.
“Akhirnya saya menggunakan khidmat runner untuk perbaharui lesen kereta disebabkan ketiadaan tarikh untuk membuat janji di kaunter JPJ,” katanya.
Percubaan wartawan Utusan Malaysia untuk membuat janji temu di sebuah pejabat pejabat JPJ dekat sini mendapati kekosongan hanya boleh diisi bulan depan.
Sumber JPJ yang ditemui berkata, terdapat beberapa cawangan JPJ berdepan masalah ketiadaan stok kad lesen kerana kilang yang membekalkan dokumen tersebut berdepan masalah pekerja.
Sumber itu turut mengakui ramai pelanggan mengeluh dengan isu slot janji temu yang lama selain ada yang sudah ke kaunter JPJ atau pejabat pos terpaksa pulang hampa.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim menyangkal dakwaan agensi itu kehabisan bekalan dokumen keselamatan kad lesen.
“Tak benar lesen memandu habis stok. Baki stok setiap hari JPJ pantau, ” jawab beliau menerusi WhatsApp semalam.
Zailani berkata, semakan ke atas transaksi dan baki stok melalui portal MySikap (kenderaan selain motosikal), LKM motosikal dan dan LMM di semua lokasi JPJ stor pusat, JPJ Negeri termasuk rakan niaga seperti MyEG, Pos Malaysia dan Puspakom mendapati masih berbaki 2,831,759 berbanding urus niaga harian sebanyak 141,156 pada 24 Ogos lalu.
Katanya, pemantauan pada transaksi dan baki stok melalui portal MySikap (kenderaan selain motosikal) pula menunjukkan masih berbaki 1,068,318 stok berbanding urus niaga harian 76,143 transaksi.
Menurut beliau, baki stok bagi LKM motosikal pula sebanyak 888,452 manakala urus niaga harian hanya merekodkan 29,198 transaksi.
Begitu juga baki stok LMM yang masih ada 874,989 berbanding urus niaga harian adalah 35,815 transaksi.
“Bagi tempoh sepanjang bulan ini dari 1 hingga 24 Ogos, jumlah transaksi terkumpul menerusi LKM MySikap, LKM Motosikal dan LMM di JPJ sahaja berjumlah 1,140,964 transaksi.
“Urusan di Puspakom pula merekodkan 16,957 transaksi, Pos Malaysia (872,388 transaksi) dan MyEG (482,840 transaksi),” katanya. – UTUSAN











