
PETALING JAYA: Anugerah yang mengangkat kualiti lagu yang dihasilkan secara independen di Malaysia, Anugerah Lagu Indie (ALI) 2021 mengumumkan lanjutan penyertaannya sehingga 8 Oktober disebabkan kekangan akibat pandemik Covid-19.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjurnya, Rakita FM, Hashtag Media, Angkasa Event Space dan Kamar Seni Studio, lanjutan itu dibuat apabila acara separuh akhir dan pentas akhirnya terpaksa ditangguhkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, SOP tersebut tidak membenarkan sebarang aktiviti penganjuran mahupun penyiaran secara langsung sepanjang tempoh tersebut.
“Setakat ini, ALI2021 telah menerima sejumlah 522 penyertaan lagu-lagu bebas daripada peserta di seluruh negara.
“Selepas 8 Oktober nanti, barisan juri akan memilih lagu-lagu dalam 200 Terbaik dan seterusnya menyenarai pendek hanya 30 buah lagu terbaik yang layak beraksi di Pentas Separuh Akhir ALI2021 pada November nanti.
“Hanya 12 lagu bertahan sahaja yang akan layak bertanding dalam Pentas Akhir ALI2021,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, penggiat muzik dan pencipta lagu yang berminat untuk mencalonkan lagu hasil ciptaan mereka boleh menghantar penyertaan secara dalam talian di laman web rasmi www.anugerahlaguindie.com.
Sebanyak empat syarat penyertaan dikenakan iaitu lagu yang dicalonkan hendaklah dikeluarkan pada atau selepas 14 Ogos 2020 sehingga 8 Oktober 2021 dan lagu-lagu yang dicalonkan hendaklah bebas daripada ikatan penerbitan dengan mana-mana syarikat rakaman.
Selain itu, lagu-lagu yang dicalonkan bebas menggunakan apa-apa bahasa dan kesemua lagu yang dicalonkan hendaklah dicipta 100 peratus oleh warganegara Malaysia.
Penganjur ALI2021 juga telah mendedahkan 12 orang juri yang akan mengadili lagu-lagu yang bertanding iaitu Kmy Kmo, Luca Sickta, Gjie Arlis, SXPH, Rudy Nastia, Azim Jenk Ali, Amir Jahari, Amylea, Irena Taib, Jennifer Thompson, Efry Arwis dan JD Wong.
“Tahun ini, ALI masih lagi mengekalkan misinya sebagai platform pencarian bakat-bakat dalam industri muzik tanah air seperti penulis lagu, penulis lirik, pemuzik dan penyanyi bebas yang mampu menghasilkan lagu-lagu asli yang berkualiti,” katanya.
ALI pertama kali dianjurkan tahun lalu dengan lagu Penawar ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin nyanyian kugiran Margosa telah diangkat sebagai juara sulungnya. – UTUSAN











