Bubar Parlimen atau kerajaan perpaduan jika PM9 gagal tentukan keabsahan di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Bubar Parlimen atau kerajaan perpaduan jika PM9 gagal tentukan keabsahan di Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuasa membubarkan Parlimen sekiranya Perdana Menteri Kesembilan (PM9) yang dipilih gagal dalam menentukan keabsahannya di Dewan Rakyat nanti.

Langkah mengadakan pilihan raya umum (PRU) boleh dielakkan untuk ke satu tempoh yang difikirkan sesuai menerusi penubuhan kerajaan perpaduan, dengan melibatkan pemimpin semua parti politik dalam barisan Kabinet yang dibentuk.

Pembentukan kerajaan yang stabil selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengelak kemelut sama terus berulang.

Kerajaan baharu yang dibentuk perlu berjiwa besar bergabung di bawah satu bumbung pentadbiran sehinggalah ke satu tempoh parlimen dibubarkan untuk mengadakan PRU15.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia Pengarah Institut Tamadun dan kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pengisytiharan proklamasi darurat juga boleh dilakukan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi memastikan PRU15 dilaksanakan setelah negara mencapai imuniti kelompok.

“Perdana Menteri yang baru dilantik mungkin tidak dapat sokongan majoriti menerusi undi percaya nanti terutama jika ada yang tidak puas hati dalam isu pelantikan Kabinet.

“Dalam hal ini, pendekatan kerajaan perpaduan dengan penyertaan wakil setiap parti utama dalam Kabinet atau lantikan consultative body merupakan tawaran yang boleh dibincangkan untuk memberi fokus kepada isu penting sebelum PRU dilaksanakan.

“Jika Seri Paduka nak bubar Parlimen pada masa sekarang, ia tidak dapat dilakukan kerana pandemik. Apabila penularan pandemik sudah terkawal, barulah PRU15 boleh diadakan,” katanya.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini menitahkan, Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk keabsahan kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, jika dilihat daripada segi sokongan majoriti mudah iaitu 111, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya mempunyai kelebihan tiga atau empat kerusi iaitu sama seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Jelasnya, pembentukan sesebuah kerajaan yang stabil adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengelak kemelut sama terus berulang.

Malah, katanya, pembentukan Kabinet baharu juga tidak perlu ramai seperti sebelum ini, sebaliknya hanya diisi de­ngan jawatan-jawatan penting sahaja atau Kabinet perang.

“Perdana Menteri baharu kena berani bawa perubahan untuk kebaikan semua selain bagi menjamin kestabilan kerajaan. Mungkin kerajaan perpaduan boleh dipertimbangkan dengan melibatkan pemimpin pembangkang.

“Walaupun wujud kerajaan perpaduan (melibatkan pe­mimpin pembangkang) tetapi Perdana Menteri tetap mempunyai kuasa prerogatif dalam membuat keputusan.

“Perdana Menteri dan Kabinet baharu kena kotakan janji sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong iaitu melahirkan politik baharu era Covid-19 yang melibatkan semua pihak. Jika tidak keadaan sama mungkin berulang apabila Perdana Menteri hanya berkelebihan beberapa kerusi sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, sekiranya PM9 tidak mendapat majoriti dalam undi percaya, seseorang itu perlu menghadap dan memaklumkan kepada Agong.

“Ia wajib dibuat di bawah Perkara 43 fasal (4). Andainya atas permintaan PM baharu itu, ­Agong tidak membubar Parlimen, beliau perlu letak jawatan.

“Sekiranya Perdana Menteri baharu itu letak jawatan, ­Agong boleh melantik seseorang yang mempunyai majoriti. Namun, sekiranya tiada majoriti, seseorang tokoh pemimpin yang berkemam­puan boleh dilantik untuk membentuk kerajaan perpaduan. Jadi, semua parti besar diwakili dalam Kabinet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×