PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BATM) telah melantik Nedal Louay Salem sebagai Pengarah Urusan syarikat baharu berkuat kuasa 1 September 2021, menggantikan Jonathan Darlow Reed.
Menurut syarikat tembakau itu, Jonathan telah memilih untuk mengundurkan diri sebagai Pengarah Urusan di BATM dan berpindah ke British American Tobacco Plc.
Pengerusi Lembaga Pengarah BATM, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Jonathan atas kepimpinan dan pencapaiannya yang berwawasan semasa memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.
“Kami telah melihat perubahan yang luar biasa di bawah kepemimpinannya dan kami mendoakan yang terbaik untuk Jonathan dalam pelantikan seterusnya.
“Kami juga ingin menyambut kehadiran Nedal ke BATM. Dengan pengalamannya yang kukuh, kami yakin beliau akan dapat membawa kami ke tahap yang kebih tinggi dan terus berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Nedal sebelum ini merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Ceylon Tobacco Company (CTC) di Sri Lanka, sejak Mei 2019.
Menurut BATM, Nedal telah memimpin CTC pada waktu yang paling mencabar dalam sejarah syarikat itu. CTC telah mencapai tonggak penting dalam rangka kerja tadbir urus korporatnya, strategi bakat dan agenda sosial dan tadbir urus (ESG).
Nedal menyertai BAT pada 1998 sebagai Pengurus Negara di Pengurus Jenama Jordan Area untuk Asia Barat.
Beliau kemudian memegang jawatan Ketua Kawasan Strategi di BAT Asia Barat dari 2006 hingga 2008, Pengurus Jenama Kanan Global BAT United Kingdom (UK) dari 2008 hingga 2011, Pengarah Pemasaran Jenama BAT Korea Selatan dari 2011 hingga 2015 dan Ketua Pemasaran Jenama BAT Indonesia. – UTUSAN










