PUTRAJAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak dalam membantu beliau sehingga hari terakhir sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengakui telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), setidak-tidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.
Namun, ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya. Jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan.
“Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik,” katanya dalam perutusan khas semalam.
Muhyiddin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19 dan optimis negara dapat keluar daripada krisis dalam masa terdekat apatah lagi dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Beliau turut berterima kasih kepada semua penjawat awam yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan PN menyampaikan khidmat kepada rakyat.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang berkorban masa dan tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Anda semua banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini,” katanya.
Muhyiddin dalam nada sebak mengucapkan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri dan keluarga yang menjadi sumber inspirasi sejak dahulu hingga ke hari ini.
Pada masa sama, beliau menghargai kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan tertinggi PN dari parti Pas, STAR, SAPP dan Gerakan, pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta sebahagian ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan kepadanya hingga ke saat akhir.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua.
“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Muhyiddin mengakhiri perutusan terakhir beliau sebagai Perdana Menteri dengan mengajak rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan untuk seluruh tanah air ini.
Dalam doa tersebut, beliau mendoakan agar penyakit Covid-19 lenyap dari muka bumi ini.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami, Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami, Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami. Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










