Junjung Perlembagaan - Utusan Malaysia

Junjung Perlembagaan

MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras utama perundangan negara perlu dijunjung dan dipertahankan termasuk dalam isu membabitkan jawatan Perdana Menteri.

Peruntukan Perkara 43 (4) menyebut, jika Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletak jawatan bersama jemaah menteri dalam kabinetnya..

Justeru, tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pelbagai tawaran termasuk kerjasama secara bipartisan dilihat satu pencerobohan terhadap prinsip Perlembagaan yang seharusnya dipertahankan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan selepas mengakui Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Katanya, dalam situasi sekarang, Muhyiddin hanya mempunyai dua pilihan berdasarkan peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Jika apa yang dikatakan Muhyiddin mengakui beliau telah hilang majoriti.Maka dengan sendirinya peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan akan ‘berjalan’.

“Muhyiddin ada dua pilihan. Pertama perlu mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan yang kedua jika tidak dapat perkenaan maka perlu letak jawatan sekali dengan Kabinetnya. Asasnya adakah beliau mempunyai majoriti lagi?” katanya semalam.

Kelmarin dalam perutusan khas beliau yang disiarkan secara langsung, Muhyiddin secara tidak langsung mengakui beliau tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat tetapi menegaskan, tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan mendapat sokongan untuk membolehkan Yang di- Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri baharu.

Muhyiddin dilaporkan berkata, sekiranya beliau memilih meletak jawatan, Perdana Menteri yang baharu masih tidak boleh dilantik mengikut Perlembagaan, sekali gus memberi implikasi kepada pembentukan Kabinet dan sebuah kerajaan.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, sebagai satu cara menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang, pimpinan parti-parti dalam kerajaan PN mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar perikatan untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, keputusan akhir kini terletak kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada Seri Paduka sudah berpuas hati Perdana Menteri telah hilang majoriti sokongan atau menitahkan prosiding di Parlimen diteruskan untuk menentukan kedudukan Muhyiddin.

Jelasnya, berdasarkan kenyataan Muhyiddin dalam sidang khas semalam, menggambarkan pengakuan di pihak Perdana Menteri bahawa beliau sudah hilang majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat.

Namun, katanya, Perdana Menteri enggan bertindak menurut kehendak Perkara 43(4) atas sebab, tiada ahli Dewan Rakyat yang boleh membuktikan undi kepercayaan sebagai Perdana Menteri baharu.

“Kena letak jawatan apabila hilang majoriti. Perkara 43 (4) jelas bahawa jika Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri termasuklah dirinya.

“Jika tidak letak jawatan, kedudukan Muhyiddin itu akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kedudukan sekarang berbeza ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan sebelum ini, kepercayaan majoriti terhadap Perdana Menteri itu diuji lebih awal di dalam Parlimen.

“Melihat kepada situasi ketika ini, jika benar ada pengakuan (hilang majoriti) dalam ucapan Perdana Menteri semalam bahawa beliau tidak lagi mendapat undi kepercayaan sehingga perlukan kepada sebuah kerajaan bipartisan, maka, pilihan yang ada pada Muhyiddin
ialah meletak jawatan atau meminta Parlimen dibubarkan,” katanya.

Seorang lagi pakar Perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, rangka persefahaman rentas parti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melanggar atau menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan Muhyiddin juga dilihat sebagai satu usaha dan formula baharu yang bukan disifatkan sebagai rasuah, sebaliknya demi kestabilan politik negara.

“Ini bukan rasuah. Hanya orang politik yang cakap. Ini adalah perkongsian kuasa untuk kebaikan rakyat jelata. Ia memberi dan menerima (quid pro quo arrangement). Lagipun Muhyiddin belum lagi secara sah hilang jawatan dan ini tidak boleh dibuktikan. Sekarang beliau minta sokongan supaya kerajaan yang ada dapat berfungsi dengan baik sehingga Julai tahun depan.

“Beliau juga cuba mewujudkan istilah Kerajaan Perpaduan sehinggalah tiba Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menstabilkan politik menerusi cara sebegini. Pembangkang perlu gunakan peluang menjaga rakyat apabila dijemput bersama untuk berdamai. Malah mereka boleh desak permintaan kepada Muhyiddin agar dipenuhi dan dalam masa yang sama mereka terima tawaran Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tawaran Muhyiddin untuk kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan adalah tidak sah.

Ini kerana, katanya, Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan sebagai Perdana Menteri, berikutan itu beliau mesti meletak jawatan.

“Tawaran itu tidak sah kerana Perdana Menteri sudah hilang majoriti, tiada keabsahan dan mesti letak jawatan.

“Beliau sudah tidak boleh duduk situ (sebagai Perdana Menteri) apatah lagi nak buat tawaran sedemikian,” katanya.

Mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa cadang itu dikemukakan kerana tiada pihak yang ada majoriti untuk membentuk kerajaan, Abdul Aziz berkata, Muhyiddin tidak perlu risau perkara itu.

“Muhyiddin tak perlu risau ada kerajaan atau tidak, itu tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×