JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen DAP tidak akan menggadaikan prinsip mereka semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa pada usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri, September ini.
Timbalan Pengerusi DAP negeri, Teo Nie Ching berkata, pendirian mereka dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini adalah kekal iaitu tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah hilang majoriti.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata, dakwaan ada dalam kalangan ahli Parlimen DAP dan PKR cenderung berpihak kepada PN mungkin hanya sekadar perang psikologi pihak tertentu bagi memastikan tiada lagi ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan gabungan itu.
“Saya rasa, ini kenyataan dan tuduhan yang tidak berasas, setakat ini, PH termasuk Pejuang dan Warisan pun menyatakan pendirian kita untuk tidak menyokong Perdana Menteri.
“Kita pun sudah menulis surat menyatakan perkara itu kepada pihak Istana Negara bagi memaklumkan pendirian menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, ada kejutan terbesar berlaku berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen DAP dan PKR cenderung berpihak kepada PN.
Malah, keyakinan PN untuk meraih majoriti itu akan diteruskan pula dengan satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepemimpinan serius untuk memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.
Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut menafikan penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi ‘menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan PN dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.
Beliau berkata, ini termasuk dakwaan bahawa DAP akan memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dan menyokong Muhyiddin.
Ahli Parlimen Kapar itu yakin semua ahli Parlimen pembangkang ‘tidak lari,’ malah, sepakat bersama Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di Port Dickson, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian pakatan itu adalah untuk mengemukakan calon Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin.
“PH punya pendirian adalah untuk mengemukakan calon PH kerana kita jadi blok yang terbesar, tidak berbangkit soal memberikan sokongan kepada calon-calon lain,” katanya. -UTUSAN










