PETALING JAYA: Isu keabsahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diselesaikan segera tanpa perlu menunggu sidang Dewan Rakyat September ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana isu berkenaan disifatkan kritikal dan serius selepas dilihat memberi implikasi besar kepada urusan pentadbiran serta hal ehwal kerajaan.
“Isu ini turut berkait rapat dengan status keabsahan sebarang kelulusan oleh Perdana Menteri terhadap dasar-dasar dan polisi baharu kerajaan.
“Selain itu, ia turut melibatkan status keabsahan segala pinjaman yang dibuat kerajaan termasuk jumlah terbaru RM11.5 bilion. Turut boleh dipersoalkan adalah status segala kontrak dan waran yang diluluskan oleh Perdana Menteri yang sudah hilang keabsahan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Menara Dato’ Onn di sini semalam.
Tambah Asyraf Wajdi, isu paling besar apabila seseorang Perdana Menteri sudah hilang keabsahannya, maka di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, beliau sudah hilang kuasa.
Asyraf Wajdi dalam pada itu berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berkenaan keabsahan status Muhyiddin mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan di Balai Polis Dang Wangi sebelum itu.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pihak tidak mencampur aduk isu keabsahan Muhyiddin dan persoalan rakan seteru UMNO sekiranya Perikatan Nasional (PN) tumbang.
“Segala urusan bagi pelantikan Perdana Menteri perlu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 (2) B. Pertama sekali kita perlu faham apa berlaku di Perak. Dalam konteks ini Muhyiddin hilang kuasa dan perlu letak jawatan. Bab untuk lantik siapa Perdana Menteri dua perkara berbeza. Kita tak boleh campur aduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE











