KDNK suku kedua dijangka tumbuh 3-4 peratus - Utusan Malaysia

KDNK suku kedua dijangka tumbuh 3-4 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk suku kedua 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan positif berdasarkan prestasi baik beberapa petunjuk ekonomi dalam tempoh tersebut.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beberapa indikator seperti Indeks Pelopor (IP) masih kekal mencatatkan pertumbuhan dua digit pada April iaitu 15.7 peratus.

“Saya menjangkakan KDNK suku kedua akan meningkat dari suku pertama kepada tiga hingga empat peratus berdasarkan beberapa indikator ekonomi seperti IP.

“Kalau kita mahu bandingkan dengan tahun sebelumnya, pada Mei, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 10.7 peratus dan 33.1 peratus.

“Indeks nilai seunit dan volum import juga masing-masing tumbuh 3.8 peratus dan 44.8 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sepanjang suku kedua lalu, ekonomi negara menghadapi cabaran apabila jumlah kes jangkitan Covid-19 terus meningkat dan kerajaan terpaksa menutup beberapa sektor ekonomi termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sepanjang Jun.

KDNK negara menyusut 0.5 peratus pada suku pertama lalu, sekali gus merupakan penyusutan untuk suku tahun keempat berturut-turut buat Malaysia.

Pada suku kedua tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK terendah sejak suku tahun keempat 1998 iaitu sebanyak -17.1 peratus.

Menurut Ahmed Razman, sektor utama seperti perkilangan terutamanya elektrik dan elektronik termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dijangka kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini.

Jelas beliau, sektor komoditi seperti minyak sawit dan petroleum juga dijangka memberi sumbangan yang signifikan.

“Sektor yang belum pulih ialah sektor hospitaliti dan pelancongan, hiburan, penerbangan serta pengangkutan.

“Suku kedua ini tidak memberi impak yang begitu baik kerana pelaksanaan PKP 3.0 menyebabkan banyak sektor ditutup namun separuh tahun kedua bakal menyaksikan pemulihan ekonomi yang lebih ketara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×