Peminat kisah dongeng Beauty and the Beast sudah tentu mengenali watak Puteri Belle yang dikenali sebagai wanita berani, baik, cantik, bijak dan berkeyakinan.
Simbolik filem klasik animasi Disney ini menjadi inspirasi kepada jenama fesyen tempatan, Mimpikita menghasilkan koleksi rekaan baharu yang dikenali sebagai The Enchanted Rose. Ada corak cetakan khas baharu yang menggabungkan elemen fantasi dengan lambang kekuatan dan keanggunan Puteri Belle.
Kolaborasi dengan The Walt Disney Malaysia bermula sejak awal tahun ini. Sebelum ini, Mimpikita menampilkan koleksi Aidilfitri inspirasi watak Puteri Jasmine daripada filem Aladdin.
Selain menampilkan ikonik utama filem Beauty and the Beast, Mimpikita turut menggunakan elemen watak-watak lain termasuk watak balang kaca bulat, ukiran dan tingkap rumah serta suasana Victoria secara keseluruhannya.
Tidak ketinggalan, warna-warna pakaian koleksi kali ini diilhamkan daripada filem tersebut seperti warna palet dengan pelbagai ton, kuning pudar dan biru laut.
Pengasas Mimpikita, Nurul Zulkifli berkata, rekaan musim sejuk luruh 2021 ini diilhamkan daripada keperibadian Puteri Belle.
“The Enchanted Rose menampilkan cita rasa feminin dan setiap rekaan boleh digayakan dengan mudah dan boleh disuai padankan untuk pelbagai jenis acara. Sebagai contoh, rekaan gaun kembang dan berlipat boleh dipakai untuk bekerja atau bersantai.
“Kami juga menampilkan blaus yang direka dengan lengan puff dan bentuk kolar bulat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Padanan blaus dan gaun menggunakan fabrik satin bercorak sangat selesa dipakai sama ada ke majlis formal atau ke pejabat. Gaun berkenaan boleh dipadankan dengan seluar kasual untuk acara santai.
Mimpikita melengkapkan koleksi kali ini dengan baju sejuk (sweater) lengan panjang dengan motif bunga mawar, sesuai untuk Muslimah.
Penggunaan kain kapas memastikan pengguna selesa memakainya.
Tips suai padan:
Pilih padanan pakaian yang ada reka corak flora dengan bijak bagi tujuan mengalihkan pandangan terhadap kekurangan diri. Contohnya, jika dada besar, baju polos digandingkan dengan skirt atau celana bercorak. Begitulah sebaliknya.
Sekiranya memiliki pinggul lebar pastikan seluar atau skirt dalam rona polos dipadankan dengan blaus atau top reka corak flora.
Bagi mendapatkan gaya keseluruhan yang sederhana, pilih jenis cetakan flora yang tidak keterlaluan. Pilih rona paling sesuai dengan warna kulit untuk pastikan anda lebih yakin dengan tata gaya keseluruhan.









