PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri memberi alasan antara lain kerana Ahli Parlimen Pagoh itu seolah-olah tidak setia dan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan dirungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, namun pembatalannya telah diumumkan Menteri Undang-undang tanpa mendapat mendapat perkenan Agong.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar mengumumkan bahawa 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menyokong PN dan Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid lah sebenarnya yang tidak setia dan ingkar perintah Agong apabila mendesak Perdana Menteri letak jawatan.
Sedangkan kata Ismail Sabri, Yang di-Pertuan Agong sudah perkenan supaya Muhyiddin dan kerajaan PN kekal hingga undi percaya dibentangkan pada sidang Parlimen September ini.
Katanya, baginda telah berkenan agar keabsahan kerajaan PN ditentukan di Parlimen dengan satu usul percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat nanti.
Persoalannya sekarang siapa yang derhaka dan siapa yang tidak setia sebenarnya? Adakah Ahmad Zahid dan Ismail Sabri? Siapakah antara mereka yang telunjuk lurus kelengkeng berkait? Siapakah yang yang tidak patuh kepada aspirasi parti?
Jika dilihat kepada matlamat asal penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela kepentingan raja-raja Melayu, orang Melayu, bumiputera, Orang Asli, Anak Negeri Sabah serta lain-lain perkara seperti mana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ini terkandung dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO berkenaan dengan asas dan tujuan penubuhan parti itu. Ini termasuk menghormati prinsip kontrak sosial.
Berdasarkan kepada Fasal 3 ini kewujudan dan keberadaan UMNO dalam arena politik negara adalah untuk memastikan kesejahteraan setiap entiti warga Malaysia terjamin. Itu termaktub dalam perlembagaannya. Jika inti pati perlembagaan parti itu diterjemahkan maka ia juga membawa maksud sama menjadi kerajaan atau pembangkang, kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dollah ketika memperincikan perkara ini menegaskan, fasal tersebut memanifestasikan bahawa falsafah perjuangan UMNO adalah rakyat dilindung, raja dijunjung dan negara disanjung. Itu adalah amanah yang dipikul oleh setiap pemimpin UMNO.
Oleh itu kata Zakaria, pendirian Ismail Sabri dan kawan-kawannya terus menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin adalah demi kepentingan rakyat dan negara.
“Secara jelas pendirian 31 ahli Parlimen tersebut tidak langsung bertentangan dengan fasal-fasal 3 perlembagaan parti UMNO,” kata Zakaria.
Bersandarkan kepada prinsip itu maka dikatakan isu Ismail Sabri dan rakan-rakannya itu tidak setia kepada parti tidak timbul di sini. Ini kerana ketika pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda-tanda akan reda maka kerajaan PN dan Perdana Menteri perlu kekal supaya mereka dapat meneruskan agenda membela nasib rakyat sejajar dengan Fasal 3.4 Perlembagaan UMNO.
Bagaimana pula dengan pendirian Ahmad Zahid ketika membuat pengumuman bahawa UMNO tidak lagi menyokong PN dan Muhyiddin? Adakah ia tidak selari dengan Fasal 3 perlembagaan parti itu?
Berdasarkan kenyataan Ahmad Zahid pada 3 Ogos lalu itu, UMNO mengambil pendirian demikian kerana PN dan Muhyiddin sudah membelakangkan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Ordinan Darurat.
Malah Muhyiddin dan PN juga dikatakan gagal membela nasib rakyat apabila kes Covid-19 naik melebihi 15,000 kes sehari, ekonomi belum boleh dibuka dan rakyat terus dikurung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga mencetuskan pelbagai masalah.
Alasan Ahmad Zahid ialah hidup rakyat semakin sukar sekarang. Apa saja yang dilakukan oleh kerajaan seolah-olah tidak kena kerana gagal mengawal penularan Covid-19 hingga hidup rakyat terkesan, ekonomi terjejas, ratusan ribu hilang pekerjaan, graduan yang baru tamat pengajian tidak ada kerja malah golongan miskin baharu di negara ini mencecah ratusan ribu.
Muhyiddin juga kata Ahmad Zahid, menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Seri Paduka Baginda.
“Hakikatnya Al-Sultan Abdullah sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan dirungkaikan sebelum 1 Ogos 2021, bukannya pada September 2021 iaitu persidangan Parlimen yang akan datang,” tegas Ahmad Zahid.
Jadi, di antara dua kumpulan dalam UMNO yang bertelagah ini siapa yang betul? Adakah kumpulan yang di dalam kerajaan PN atau yang menentang Muhyiddin?
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mempertahankan Presidennya yakin keputusan itu adalah selari dengan perlembagaan parti iaitu keutamaan adalah mendaulat titah Yang di-Pertuan Agong.
“Sama ada mendaulat titah Tuanku, tegakkan Perlembagaan dan ikut keputusan parti atau sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak ikut Perlembagaan dan ingkar parti,” kata Ahmad Maslan.
Dalam hal ini sama ada mereka yang menyokong Presiden atau Naib Presiden masing-masing ada hujah sendiri. Apa yang pasti kedudukan UMNO sebagai sebuah parti ibarat retak menanti belah.
Sebagai rakyat pula eloklah kita menarik nafas lega kerana tindakan Ismail Sabri yang disokong oleh sekumpulan ahli Parlimen UMNO itu adalah untuk rakyat semata-mata. Percayalah Ismail Sabri bersama semua ahli Parlimen yang ada di atas pentas bersamanya itu semuanya langsung tidak ada kepentingan peribadi.
Mereka terus kekal dalam kerajaan hanya untuk memastikan rakyat tidak rugi. Bertuahnya kita kerana ada barisan kepimpinan seperti ini yang mahu kekal dalam kerajaan kerana rakyat semata-mata, bukan untuk kepentingan atau cita-cita peribadi, apatah lagi keluarga mereka.
Jika berpegang kepada kata-kata Ismail Sabri itu, maka rakyatlah yang paling beruntung kerana PN kekal sebagai kerajaan dan Muhyiddin masih memimpin negara. Tepuk dada tanyalah diri masing-masing.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










