“Pendekatan melahirkan karya atas kotak tudung, amat menyeronokkan kerana ia seperti peraduan melukis yang disertai pelanggan setia jenama,”.
Itu pandangan Pengasas Bersama Kumpulan Duck, Datin Vivy Sofinas Yusof, menerusi program amal, Paint Your Duck.
Peserta perlu memaparkan lukisan pada permukaan kotak tudung ke laman web Duck untuk dibeli oleh pihak yang berminat bagi tujuan amal.
Antara hasil seni lukis yang mendapat tawaran paling tinggi dalam lelongan itu ialah lukisan Fuji dan Salji atau Fuji and Freeze (dihasilkan oleh Rabiatul), Mawar Liar atau Wild Roses (Dayang Rosli), Syurga Ungu atau Purpleradise (Yaul Acap) dan Langit Ungu atau Violet Skies (Arisha Khaled).
Sebanyak 150 peserta dengan 483 penyertaan lukisan diterima untuk jualan bagi menyokong inisiatif amal itu.
Vivy yang juga Ketua Pegawai Kreatif Duck, berkata rasional menganjurkan acara itu kerana mahu melakukan sesuatu yang seronok dan lain daripada lain, lebih daripada itu melibatkan masyarakat.
“Saya amat kagum dengan lukisan yang dihasilkan daripada peserta Paint Your Duck. Pelanggan kami begitu berbakat. Saya tahu ini boleh menjadi sesuatu yang lebih besar dan pada masa yang sama, digunakan untuk usaha murni.
“Kami mahu mereka berasa bangga dan menjadi sebahagian daripada projek ini dengan mengumpul dana menerusi hasil seni mereka sendiri,” katanya.
Semua sumbangan disalurkan kepada Imam Response and Relief Team (IMARET) sebagai dana membantu perkhidmatan kesihatan bagi pembelian peralatan perubatan seperti tangki oksigen untuk merawat pesakit Covid-19.
Usaha itu membantu menyenangkan tenaga dan menggerakkan sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak.
Sementara itu, Pengurus Projek Lelongan ‘Paint Your Duck’, Khadijah Mat Piah berkata, pihaknya tidak menyangka peraduan ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelanggan termasuk pelukis profesional.
“Ramai mengambil inisiatif untuk menghasilkan lebih daripada satu karya malah dan ada di antara mereka yang mengemukakan empat lukisan malah terdapat juga yang ‘bercahaya dalam gelap’. Usaha yang ditunjukkan peserta benar-benar menyentuh hati. Kami gembira melihat mereka bersatu untuk tujuan amal dan menggunakan kotak-kotak Duck yang dimiliki dengan cara positif dan kreatif,” katanya.
Sebelum ini, Kumpulan Duck bergabung dengan MyFundAction untuk melancarkan dana kecemasan bagi mengumpul sejumlah RM500,000 bagi membekalkan makanan kepada keluarga yang kehilangan pendapatan.
Pada Mei lalu, Duck bekerjasama dengan Viva Palestina Malaysia (VPM) menubuhkan dana kecemasan bagi membekalkan keperluan perubatan dan bantuan kritikal kepada mangsa peperangan di Palestin dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1 juta dalam masa dua hari.
Jenama ini juga telah menyumbangkan RM100,000 kepada rumah-rumah orang tua di seluruh Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tahun lalu, Kumpulan Duck menyumbangkan 1,700 skarf Fluff Duck, tudung yang 100 peratus diperbuat daripada kapas kepada petugas barisan hadapan, diagihkan menerusi Pertubuhan Ikram Malaysia.










