PENJELASAN pihak berkuasa bahawa pokok ketum ayam tidak tersenarai dalam kategori yang diharamkan atau dilarang penggunaan dan penanamannya membuka ruang kepada inovasi tumbuhan dengan nama saintifik madre de agua itu.
Seperti diketahui umum, pokok itu adalah tumbuhan yang berbeza daripada tumbuhan ketum dari keluarga mitragyna. Cuma masyarakat menggelar pokok madre de agua sebagai ketum ayam kerana daunnya hampir menyerupai pokok mitragyna.
Melihat kepada potensi madre de agua atau dikenali juga sebagai Trichanthera gigantea yang berasal dari Amerika Selatan, sekumpulan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diketuai Prof. Madya Dr. Norhayati Ahmad kini melakukan proses menukar tumbuhan itu kepada bentuk palet bagi pemakanan ternakan.
Beliau berkata, beliau terpanggil melakukan kajian itu kerana membawa manfaat kepada masyarakat terutamanya penternak kecil-kecilan meskipun beliau adalah tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
“Sudah lama sebenarnya saya mencari sesuatu yang boleh dipulangkan kepada masyarakat kerana masih ingat kata-kata pensyarah semasa menyambung pengajian peringkat doktor falsafah pada 2010 di Jepun bahawa apa sahaja bidang yang kita ceburi seharusnya memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.
“Jadi jika dilihat bidang saya lebih kepada menghasilkan bahan atau komponen seperti seramik, komposit yang banyak digunakan dalam bidang aeroangkasa, sedangkan negara kita belum sampai tahap menghasilkan kapal terbang sendiri pun lagi.
“Bertitik tolak daripada itu saya cuba mencari sesuatu yang mungkin memberi impak secara langsung kepada masyarakat kita sebelum menemukan pokok madre de agua atau lebih popular dipanggil ketum ayam sekitar empat tahun lalu,” katanya.

Dr. Norhayati pada mulanya membeli anak pokok itu untuk ditanam di pekarangan rumahnya sebelum bertemu dengan penternak ayam, Supardi Bai atau Pak Tam dari Negeri Sembilan pada 2019 yang lebih awal mendalami berkaitan tumbuhan pokok ketum ayam itu.
Katanya, setelah dilihat pokok tersebut membesar dengan baik, beliau cuba memetik dan memberi kepada ayam secara terus dan haiwan tersebut pula terus mematuk daun ketum ayam tanpa sebarang masalah.
“Saya mula terfikir sekiranya daun ini boleh diinovasi menjadi bentuk palet sudah tentu ia akan memudahkan para penternak atau masyarakat yang memelihara ayam untuk kegunaan sendiri di rumah tanpa perlu bergantung kepada dedak sedia ada,” katanya.
Setelah membuat penyelidikan, Dr. Norhayati mengorak langkah dengan mencari bahan mentah yang bersesuaian untuk diproses bersama daun ketum ayam, di samping mengubah suai mesin-mesin tertentu yang turut digunakan dalam penghasilan palet.
“Akhirnya beberapa uji kaji dilakukan dengan mencampurkan daun ketum ayam, ubi kayu, buah mengkudu, daun kari yang kesemuanya mengandungi protein, karbohidrat, antibodi bersama-sama serat dan mineral yang sesuai untuk bantu proses tumbesaran ayam.
“Awalnya, saya berdepan cabaran mendapatkan formula yang sesuai bagi kegunaan bahan-bahan mentah itu termasuk ubi yang perlu diparut terlebih dahulu berbanding menggunakan secara terus yang menyebabkan ayam kurang menggemarinya,” katanya.
Proses penyelidikan jangkau 60 peratus
Tambah Dr. Norhayati, melalui Dana Pengukuhan Pengurusan Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan UTM, beliau berusaha menghasilkan palet itu di bawah projek bertajuk ‘Daun Ketum Ayam untuk Kelestarian Ternakan Ayam’ sejak September 2020.
Kini, projek yang dilakukan di ruang rumahnya itu ekoran kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memberi impak apabila palet yang terhasil disukai ayam ternakannya sendiri setiap kali diberi makan.
Ujar beliau, disebabkan kekangan yang sama, usaha untuk mengkomersialkan palet diberi nama GTa itu tertangguh seketika kerana tidak berpeluang untuk menjalani ujian nutrisi di makmal sebagai pelengkap penyelidikan.
“Dianggarkan proses penghasilan palet GTa kini sudah menjangkau lebih 60 peratus. Ia cuma perlu melalui ujian nutrisi sahaja sebelum ia boleh dikomersial atau dipatenkan di pasaran yang saya harap dapat dilaksana segera sebaik makmal dibenarkan beroperasi semula kelak,” katanya.

Ditanya maksud nama GTa yang dipilih, Dr. Norhayati berkata, beliau mendedikasikan tempat penanaman Pak Tam di Kuala Pilah iaitu Gedang Terachi (GT) disamping huruf ‘a’ yang mewakili perkataan ayam.
“Apa yang menarik tanaman pokok ketum ayam ini tidak sukar dan saya ringkaskan kepada 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai. Jadi berbanding jagung yang turut menjadi sumber makanan ayam, ia perlu ditanam semula selepas dituai tetapi madre de agua adalah tanaman sekali seumur hidup.
“Dari segi hasil, bagi keluasan satu ekar, ia mampu ditanam dengan 2,700 pokok ketum ayam yang boleh menghasilkan sekitar 3 kilogram daun bagi setiap pokok. Cuma saya sedang usahakan mesin yang mungkin memudahkan proses penghasilan palet itu.
“Di situlah kelebihan projek penyelidikan ini untuk mencari peralatan yang bersesuaian sebagai mesin untuk memproses daun ketum ayam dan bahan mentah lain kepada makanan ternakan berbentuk palet,” katanya.
Kelebihan palet GTa
Menggunakan sepenuhnya bahan mentah berbentuk organik bagi palet GTa, Dr. Norhayati berkata, ia diyakini mampu menjimatkan kos para penternak ayam kerana 70 peratus dari bekalan makanan haiwan adalah diimport.
“Kalau ikut daripada kiraan kasar, kita boleh mengurangkan kos itu sehingga 40 peratus kerana bahan-bahan mentah yang digunakan seperti daun kari, ubi dan buah mengkudu juga mudah didapati dan dihasilkan sendiri.
“Kita tahu memberi secara terus daun magre de agua kepada ayam pun tidak ada masalah tetapi kita melihat kesinambungan palet yang boleh menjadi stok makanan ayam sementara menantikan pokok itu menghasilkan daun lagi selepas itu,” ujarnya.

Tambah Dr. Norhayati, selain menjimatkan kos yang sudah tentu memberi pulangan lebih baik kepada penternak, penggunaan daun ketum ayam atau palet yang diujinya itu juga memberi kesan baik kepada faktor alam sekitar kerana najis ayam tidak berbau berbanding selalu.
Beliau yang memelihara ayam di halaman rumahnya juga mendapati, tiada serangan lalat ekoran penggunaan bahan itu yang sudah tentu memberi keselesaan kepada komuniti sekiranya menanam di kawasan rumah.









