JOHOR BAHRU: Semua pihak perlu bertenang dan tidak cuba mencetuskan krisis politik baharu ekoran pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor, Normala Sudirman berkata, kestabilan politik diperlukan ketika ini bagi membolehkan kerajaan mengurus negara dalam keadaan kes Covid-19 meningkat.
“Janganlah ada pihak yang cuba keruhkan keadaan. Cukup-cukuplah, semua pihak perlu tumpu masalah rakyat dan selesaikan,” ujarnya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas memaklumkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan melalui usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.
Sementara itu, Normala yang juga Timbalan Ketua Muslimat Johor berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak serius membawa isu berkaitan Covid-19 dan masalah rakyat, malah telah mensia-siakan peluang yang ada semasa sidang khas Parlimen hujung bulan lalu.
“Apa yang paling mendukacitakan ruang yang sepatutnya digunakan bagi menyelesaikan masalah rakyat tidak dimanfaatkan sebaiknya akibat mabuk kuasa tanpa menyelami denyut nadi kesusahan rakyat.
“Paling menyedihkan, ketika Perdana Menteri meminta sidang dewan membaca Al-Fatihah dan bertafakur mendoakan mangsa Covid-19 yang telah meninggal dunia, Ahli Parlimen PH membuat bising dan langsung tidak menghormatinya.
“Ini jauh berbeza berbanding pendidikan sivik yang telah diajar di sekolah agar murid menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, Wanita PN Johor optimis dan percaya bahawa tindakan sedemikian telah menyerlahkan lagi sikap Ahli Parlimen PH sekaligus menambah kebencian rakyat terhadap mereka.
“Tidak mustahil kebencian itu akan diterjemahkan menerusi peti undi untuk memilih kepimpinan yang jauh lebih berwibawa dan berintegriti berbanding mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











