Lebih 36,000 mohon guru - Utusan Malaysia

Lebih 36,000 mohon guru

SURUHANJAYA Perkhidmatan Pendidikan menerima lebih 36,000 permohonan jawatan guru. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih dua kali ganda permohonan guru diterima bagi Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 secara one-off sejak dibuka pada 7 Julai lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding cadangan pengambilan 18,702 guru yang diperlukan di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) dalam pengambilan khas itu menerima permohonan berkenaan melalui portal mySPP sehingga tarikh tutup pada 21 Julai lalu.

Menurut SPP kepada Utusan Malaysia, buat masa ini, suruhanjaya itu dalam proses menyemak permohonan diterima, yang mana daripada jumlah keseluruhan tersebut terdapat lebih 36,000 adalah permohonan dalam kalangan graduan dan bakal graduan memiliki ijazah atau diploma dalam bidang pendidikan.

“Dokumen yang dikemukakan pemohon seterusnya akan diproses untuk urusan temu duga yang dijangka bermula hujung bulan ini,” katanya di sini semalam.

SPP sebelum ini memaklumkan, pengambilan khas itu akan mengutamakan graduan pendidikan sama ada lepasan universiti awam, swasta atau luar negara.

Urusan itu diperluas kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya jika masih terdapat kekosongan yang tidak dapat ditampung oleh graduan pendidikan.

SPP menyarankan calon-calon yang terlibat agar bersedia dan sentiasa melayari laman web dan platform media sosial rasmi suruhanjaya itu bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan temu duga pengambilan khas ini.

Mohd. Radzi pada 20 Jun lalu mengumumkan pengambilan baharu guru, paling besar pernah dibuat untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, penempatan secara berperingkat dibuat bermula Oktober dengan kerjasama SPP dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan perancangan lebih teratur melalui pendekatan baharu.

Isu kekurangan guru sudah berlarutan sejak sekian lama terutama di negeri-negeri kritikal seperti di Sabah dan Sarawak sekali gus mampu mengatasi bebanan pentadbir sekolah dan guru-guru sedia ada yang berpanjangan menghadapi isu tersebut.

Empat negeri dengan jumlah kekosongan tertinggi direkodkan ialah di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor manakala kekosongan mata pelajaran tertinggi di sekolah rendah pula ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Bagi sekolah menengah pula katanya, guru mata pelajaran yang diperlukan ialah Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk dan Teknologi.

Kementerian Pendidikan berdepan cabaran kekurangan bekalan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidakpadanan opsyen mata pelajaran yang mana guru hanya boleh mengajar subjek tertentu sahaja.

“Justeru, menerusi kolaborasi strategik KPM dengan SPP dalam konteks pengambilan guru, pendekatan baharu dibuat untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran dengan menyusun kelayakan kelulusan bakal calon berdasarkan kluster tertentu bagi membolehkan bekalan lebih luas dibuat.

“Kepelbagaian kaedah pelantikan turut dibuat dalam konteks pengurusan membekalkan panel penemuduga, bekerjasama dari sudut logisitik dan keurusetiaan,” katanya.

Pengambilan guru ini juga adalah satu usaha KPM di bawah Pelan Pemulihan Negara yang cabaran utama adalah untuk membawa keluar negara dalam permasalahan sektor pendidikan.

Pada masa sama, penyelesaian isu lama ini membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di waktu sukar ini dapat berjalan dengan baik selain membuka ruang pekerjaan kepada graduan universiti berkelayakan yang berminat untuk mengajar di sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×