Dua dos vaksin sudah memadai - Utusan Malaysia

Dua dos vaksin sudah memadai

LUQMAN Hakim Suhaimi merakam video semasa dia menerima vaksin di PPV IPT Mega UiTM Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 29 Julai 2021. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan dua dos vaksin sudah memadai untuk memberikan perlindungan terhadap jangkitan teruk Covid-19.

Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kajian mendapati dua dos vaksin mampu memberi perlindungan sehingga 90 peratus terhadap jangkitan virus itu.

“Mereka yang sudah divaksin dan jika dijangkiti juga kurang kemungkinan akan dimasukkan ke hospital dan risiko kematian turut berkurangan.

“Pengeluar vaksin termasuk Pfizer, AstraZeneca (Oxford) dan Sinovac telah menjalankan kajian keperluan dan keberkesanan vaksin penggalak ketiga setelah lengkap dua dos vaksin awal. Mereka mengatakan vaksin ketiga berkemungkinan boleh diberi selepas enam hingga 12 bulan selesai lengkap vaksin kedua,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kementerian Kewangan dijangka membentangkan perolehan bagi pembelian dos ketiga atau ‘booster shot’ vaksin Covid-19 dalam Belanjawan 2022 pada Oktober ini.

Menurut Dr. Sharifa Ezat, dos penggalak itu turut berkesan terhadap varian baharu seperti VOC Delta yang menyebabkan kadar jangkitan lebih tinggi.

“Kajian Universiti Oxford menyatakan dos ketiga akan meningkatkan perlindungan tambahan terhadap Covid-19 dan juga variannya namun belum ada keperluan dos ketiga,” ujar beliau..

Menurutnya, dos ketiga akan menggalakkan lebih banyak antibodi dan perlindungan.

“Namun kerajaan perlu bersedia sekiranya kajian akan datang menunjukkan keperluan vaksin ketiga sama ada perlu atau hanya untuk golongan tertentu berisiko tinggi sahaja seperti barisan hadapan dan petugas kesihatan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×