PETALING JAYA: Dua pengacara dan penyampai radio terkenal tanah air, AG dan Fara Fauzana, secara rasminya bertugas sebagai penyampai radio di stesen Hot FM, hari ini.
Menerusi entri Instagram, AG memuat naik satu hantaran video memaklumkan mereka berdua kembali semula menjalankan tugas di konti Hot FM setelah sekian lama meninggalkan stesen radio berkenaan.
Sehubungan itu, segala persoalan daripada peminat termasuk dirinya sendiri sudah terjawab sementelah pihak atasan telah memberi tanggungjawab kepadanya semula sebagai penyampai radio stesen itu.
“Segala persoalan telah terjawab. Persoalan AG sendiri juga sudah terjawab. Sah, hari ini saya akan ke udara di Hot FM.
“Terus berikan sokongan kepada kami bertiga. Ini adalah gabungan terbaharu kami bertiga .Kita akan buat yang terbaik,” katanya.
Selain menjadi rakan penyampai kepada Fara Fauzana, AG juga turut bergandingan dengan Fad Bocey di konti Hot FM.
Terdahulu, AG meninggalkan stesen radio berkenaan sekitar tahun 2016 dan mula berkhidmat sebagai penyampai radio di Kool FM bersama Haiza dan Muaz pada tahun yang sama.
Pada tahun yang sama juga, Fara turut memaklumkan berundur sebagai penyampai radio Hot FM setelah 10 tahun berkhidmat oleh kerana ingin menumpukan perhatian terhadap kerjayanya yang lain.









