KUALA LUMPUR : Penyanyi dan bekas anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimifly, 35, mengakui sejak pandemik Covid-19 berlaku, beberapa kali dirinya mengalami kemurungan atau diserang gejala anxiety.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, keadaan itu berlaku setiap kali apabila dia memikirkan bagaimana mahu menyambung kerjayanya semula ketika aktiviti seni tidak dibenarkan beroperasi selain turut memikirkan penularan wabak yang menjejaskan aktiviti seharian.
“Saya juga mengalami situasi sukar sewaktu cuba mengadaptasi dengan perubahan norma baharu. Siapa cakap mental saya pun ‘koyak’. Saya pun tidak cukup kuat untuk mengharungi semua ini tanpa mengalami kemurungan dan emosi yang terjejas. Tidak, sebab saya juga seorang manusia biasa.
“Beberapa kali saya alami kemurungan. Saya jadi tidak terinspirasi, tiada nilai motivasi semua kerana pelbagai halangan semasa pandemik ini.
“Saya diserang anxiety setiap kali memikirkan bilakah akan dapat semula tawaran kerja, bahkan turut diserang kebimbangan melampau bila memikirkan adakah selamat untuk ambil barang di lobi. Bila pula saya boleh berjumpa ibu lagi?” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Selain itu, menurut Mimi, dia sedar dalam keadaan sukar sekali pun hidup tetap perlu diteruskan.
“Saya tak nak terus dibelenggu dengan negativiti atau membiarkan diri tidak produktif, hanya kerana tidak dapat keluar rumah. Saya tak nak dibelenggu dengan masalah anxiety dan jatuh ke lembah depresi disebabkan saya membenarkan keadaan itu untuk diri sendiri.
“Tidak! Saya tak boleh begitu. Saya tidak akan membenarkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Mimi turut menyeru kalangan peminat dan pengikutnya untuk sama-sama saling menyuntik semangat dan nilai positiviti walaupun memahami ramai sedang berada dalam situasi sukar sekarang.
“Kita yang mengawal hidup dan tahap kebahagiaan sendiri. Bukan situasi yang kita sedang berada sekarang. Bukan orang lain bahkan bukan sesiapa. Kita sendiri yang mampu membuat perubahan itu.
“Panjatkan kesyukuran kerana sekurang-kurangnya kita hidup, selamat, ada bumbung di atas kepala, makanan untuk diisi di perut, tempat tinggal yang selesa dan kasih sayang serta sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Itu sudah membuatkan saya rasa cukup. Saya bersyukur dengan setiap rahmat dan cabaran dalam hidup ini kerana ia membuatkan saya menjadi seorang individu yang lebih baik,” katanya.










