PETALING JAYA: Malaysia dianggap ketinggalan dalam pewujudan Akta Pendanaan Politik kerana setakat ini tidak ada undang undang yang mengawal dan memantau sumber kewangan parti politik yang bertanding.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perlu wujud ketelusan berkaitan sumber kewangan parti politik dan bagaimana ia dibelanjakan.
“Peraturan ini telah lama wujud di negara-negara demokrasi lain dan negara kita amat ketinggalan.
“Buat masa ini belum ada undang-undang khusus yang mengawal pembiayaan politik. Sebelum ini, berlaku salah guna kuasa mendapatkan sumbangan daripada syarikat yang ada kepentingan projek kerajaan untuk dana politik, tetapi tidak dianggap bersalah kerana kelompangan undang-undang.
“Bagi mengurangkan kebergantungan parti politik kepada sumbangan korporat atau sumbangan asing, perlu juga diwujudkan peruntukan tetap dana awam kepada parti politik yang boleh ditentukan berdasarkan jumlah undian diterima atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, buat masa ini tidak ada agensi khusus yang menangani dana politik dan kuasa yang dimiliki juga terhad.
“Mungkin lebih baik ada agensi khusus untuk menangani isu dana politik atau berikan sahaja kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menguruskan pendaftaran dan pelaporan parti politik serta pengawalan pembiayaan politik.
“Akta sebelum ini tidak mengawal sepenuhnya seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1965 yang hanya mengawal perbelanjaan calon pilihan raya dan kawalan ini juga longgar menyebabkan orang awam sukar untuk menyemak perbelanjaan calon.
Sebelum ini, isu pendanaan politik telah diselesaikan menerusi beberapa akta termasuk Pelan Integriti Nasional 2004, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik Berintegriti (JKNMPP) 2015-2016 dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Mengulas mengenai isu pengisytiharan aset oleh ahli politik, beliau menganggap tindakan tersebut adalah satu kaedah ketelusan, tetapi ketelusan parti politik adalah lebih penting.
“Pengisytiharan aset ini lebih menjurus kepada isu rasuah ahli politik, bukannya isu pembiayaan politik kerana dalam perbelanjaan pilihan raya misalnya, wang yang disalurkan kebanyakannya datang daripada parti, bukannya calon individu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










