PETALING JAYA: AmInvest melancarkan Dana Indeks Teknologi Hong Kong yang akan membolehkan pelabur mendapatkan pertumbuhan dalam sektor teknologi dan peningkatan jumlah syarikat yang disenaraikan di Hong Kong.
Menurut institusi kewangan itu, dana itu akan memasuki Dana Dagangan Bursa (ETF) pertama dan terbesar di dunia yang mengikuti prestasi Indeks Teknologi Hang Seng (HSTECH) iaitu ETF HSTECH CSOP.
Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Berhad, Tracy Chen Wee Keng berkata, pertumbuhan sektor teknologi menjadi lebih cepat disebabkan pandemik yang memerlukan syarikat bergantung kepada teknologi dan mempercepat strategi transformasi digital mereka.
“Digelar sebagai Nasdaq Timur, indeks HSTECH yang dikesan oleh ETF HSTECH CSOP dijangka dapat menggerakkan aliran modal dengan syarikat teknologi China, termasuk syarikat unicorn dan pemulanya yang memilih untuk disenaraikan lebih dekat dengan negara itu.
“Tambahan lagi, ketegangan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China turut meningkatkan jumlah syarikat gergasi China yang tersenarai di AS untuk disenaraikan di Hong Kong,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut AmInvest, indeks HSTECH mewakili 30 syarikat teknologi Greater China yang tersenarai di Hong Kong.
Katanya, ia merangkumi syarikat-syarikat yang mempunyai pendedahan perniagaan yang tinggi kepada tema teknologi tertentu, termasuk internet, teknologi kewangan, pengawanan, e-dagang dan aktiviti digital.
“Setakat 30 Jun, 10 syarikat seinduk terbaik melibatkan syarikat-syarikat seperti Meituan, Alibaba, Sunny Optical, Tencent dan Xiaomi.
“Sejak dimulakan pada Julai 2020, indeks HSTECH telah memberikan pulangan kira-kira 20 peratus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif AmInvest, Goh Wee Peng berkata, dana tersebut menawarkan alat pelaburan yang mudah, telus dan berkesan kepada pelabur bagi mengikuti prestasi sektor teknologi China yang pantas tumbuh, semuanya melalui satu transaksi.
“AmInvest teruja untuk bekerjasama dengan CSOP Asset Management Limited (CSOP) dengan pengurus dana sasaran, yang merupakan peneraju pengurus ETF dan penerbit Hasil Dagangan Bursa (ETP) di Hong Kong.
“Dengan hampir separuh ETP terbaik didagangkan tahun ini telah diterbitkan CSOP, syarikat itu telah memantapkan jenamanya sebagai penerbit ETF untuk tempoh sembilan tahun ini,” katanya. – UTUSAN










