PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) telah membuka Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) yang ketiga di Tennamaram Estate, Bestari Jaya, Selangor.
Pusat PVVIN itu akan memberi manfaat kepada sekitar 6,500 pekerja ladang kelapa sawit, getah dan sektor pertanian lain di Selangor.
Pengarah Urusan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, amat penting untuk pekerja ladang yang merupakan tulang belakang dalam sektor pertanian diberi peluang untuk menerima vaksin.
“Namun, walaupun kesihatan dan kesejahteraan pekerja itu penting, kita juga harus memastikan keseluruhan latihan vaksinasi itu adalah secara sukarela dan pekerja harus memahami seluruh prosesnya serta apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi memastikan pemahaman dan persetujuan untuk divaksin, SDP telah menghubungi pekerja-pekerjanya untuk menjelaskan keseluruhan proses vaksinasi dan menekankan ia adalah sukarela.
Jelas syarikat perladangan itu, penjelasan tersebut melibatkan satu siri komunikasi dengan pekerja tempatan dan asing dalam bahasa ibunda masing-masing.
Tambahnya, pihak syarikat juga terus bekerja rapat dengan pihak kedutaan pekerja terbabit untuk membantu mereka mengemukakan sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai proses vaksinasi dengan wakil kerajaan mereka.
Pusat Tennamaram PPVIN adalah latihan perintis untuk sektor perdagangan di Semenanjung Malaysia di bawah Program Vaksinasi untuk Sektor Komoditi Agri (VACOMS), dipimpin oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).
Ia akan digunakan untuk memberi vaksin bukan hanya kepada pekerja SDP, tetapi juga pekerja ladang syarikat lain di Selangor.
Pada awal bulan lalu, SDP telah menubuhkan dua pusat PPVIN iaitu di Rajawali dan Lavang di Bintulu, Sarawak untuk memberi imunisasi kepada lebih 4,000 pekerja.
SDP telah menjadi sebahagian daripada usaha nasional bagi meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara untuk mencapai imuniti kelompok.
Pada Jun lalu, SDP membuka ibu pejabatnya di Ara Damansara bagi menguruskan Pusat Vaksinasi Pandu Lalu khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan penjaga mereka.
Kira-kira 13,500 penerima yang layak telah mendaftar untuk program itu dan sebanyak 7,255 dos telah diberikan setakat 23 Julai lalu.
Pusat Tennamaram PPVIN diwujudkan dirikan dengan bimbingan dan bantuan semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan. – UTUSAN











