PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memperuntukkan hampir 3,000 kotak makanan menerusi inisiatif IKHLAS untuk Malaysia bagi membantu golongan rentan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Bernas, kotak makanan tersebut mengandungi pelbagai barang keperluan asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan sebagainya.
Katanya, anggota kerja Bernas di seluruh negara telah mula mengedarkan bantuan makanan tersebut kepada masyarakat setempat secara berperingkat melalui 33 buah lokasi pusat operasi Bernas.
“Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban kumpulan masyarakat yang rata-ratanya terjejas punca pendapatan dan memerlukan sokongan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara.
“Selaku organisasi yang bertanggungjawab bagi menjamin kestabilan bekalan beras dan jaminan bekalan makanan negara, Bernas turut melihat inisiatif ini sebagai salah satu peluang untuk syarikat menyumbang semula kepada masyarakat seiring dengan matlamat berkongsi kemakmuran bersama penduduk secara lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bernas, IKHLAS untuk Malaysia merupakan sebahagian daripada pendekatan yang diambil syarikat itu.
Katanya, ia bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dalam negara ini dapat terus dipelihara. – UTUSAN









