PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempercepat Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 dan menambah bantuan bersasar kepada semua peniaga terlibat bagi mengelakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) gulung tikar.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, sejak 1 Jun lalu, banyak sektor ekonomi tidak dibuka dan menyebabkan masalah aliran tunai terhadap kebanyakan perniagaan terutamanya PKS.
“Keadaan akan sedikit membantu sekiranya PSU yang diumumkan sebelum ini dapat disegerakan kerana sehingga kini, peniaga masih belum menerima subsidi upah yang diselenggara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk bulan Jun.
“Selain itu, kerajaan juga perlu membantu PKS dengan menambah lagi jumlah bantuan bersasar kepada semua peniaga yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setiap bulan sehingga sektor ekonomi dibuka semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.67 bilion di bawah PSU yang memberi kemudahan kepada 2.74 juta pekerja dan 333,533 majikan di seluruh negara.
Namun, permohonan PSU 4.0 hanya dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 Oktober 2021. Majikan yang mengemukakan permohonan yang lengkap dengan maklumat yang betul, akan menerima bayaran dalam tempoh tujuh hingga 14 hari.
Norsyahrin menegaskan, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang lebih ketat kepada semua industri selama dua minggu sekiranya kes jangkitan Covid-19 terus meningkat terutama di Selangor dan ibu negara.
Jelasnya, ini penting agar pengorbanan majoriti sektor ekonomi yang tidak boleh beroperasi sejak 1 Jun lalu tidak menjadi sia-sia.
“Kami memahami pelaksanaan tersebut tidak dapat dielakkan demi keselamatan rakyat walaupun kesannya kepada ekonomi semakin membarah berikutan sekatan sektor ekonomi yang terlalu lama.
“DPMM memuji langkah kerajaan mempercepatkan program vaksinasi pada ketika ini namun sekiranya sekatan pergerakan penuh tidak dilaksanakan, dikhuatiri keadaan ekonomi akan lebih teruk kelak,” ujarnya.
Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dan pertama kali mencatatkan kes harian melebihi 11,000 kes pada 13 Julai lalu.
Trend kes jangkitan terus melonjak melebihi 13,000 pada 15 Julai dan mencatatkan pengurangan sedikit dengan 10,710 kes semalam.
Daripada jumlah tersebut, Selangor kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes baharu iaitu 4,828 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 945 kes. – UTUSAN ONLINE











