PETALING JAYA: Jawatan Perdana Menteri interim hanya boleh diwujudkan selepas Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana hilang majoriti di Dewan Rakyat ataupun sokongan terhadap Perdana Menteri menjadi pertikaian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, jawatan Perdana Menteri interim adalah berasaskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong sudah hilang kepercayaan terhadap jumlah majoriti yang menyokong Perdana Menteri, maka Seri Paduka akan memanggil Perdana Menteri supaya beliau dapat buktikan majoritinya. Jika tidak cukup, maka Seri Paduka boleh panggil pemimpin lain.
“Sekiranya semua pemimpin ketua parti tidak mempunyai jumlah majoriti maka Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri interim sehingga satu tempoh yang Seri Paduka yakin ahli-ahli Parlimen itu boleh membuat satu keputusan memilih untuk memberikan sokongan,” jelasnya ketika dihubungi.
Perdana Menteri interim bukanlah satu perkara yang popular di Malaysia kerana jawatan itu hanya akan diadakan apabila ada kebuntuan dalam pentadbiran negara.
“Sekiranya perkara itu berlaku maka haruslah dilantik Perdana Menteri interim untuk masa yang panjang bagi memberi ruang mengatasi Covid-19,” jelas Mazlan.
Malaysia sekali lagi terjerumus dalam kemelut politik kedua dalam tempoh 18 bulan selepas ‘Langkah Sheraton’ yang membawa ‘keruntuhan’ Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Peguam Negara, Idrus Harun sebelum ini mengatakan kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Sementara itu, pemerhati politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian berkata, ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menentukan sama ada mereka masih memberi sokongan kepada Perdana Menteri ataupun sebaliknya sebelum Perdana Menteri perlu berundur daripada jawatan itu.
“Tidak dinyatakan sama sekali, menteri UMNO keluar daripada Kabinet ataupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak jawatan yang ditawarkan kepada mereka namun yang diberikan perhatian adalah meminta Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Tetapi itu hanyalah satu kenyataan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan itu tidak boleh diguna pakai mengatakan Kerajaan PN telah ‘tumbang’. Keputusan yang dibuat oleh ahli Dewan Rakyat adalah lebih penting ketika ini,” katanya.
Tambah Sivamurugan, keadaan ketika ini tidak boleh disamakan dengan kejatuhan Kerajaan PH dahulu kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan manakala Muhyiddin masih merupakan Perdana Menteri yang sah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










