SUSUNAN HASIF IDRIS
KETIKA dunia membincangkan pemerkasaan wanita dan kesamarataan, Bangladesh masih terpalit isu menjual kanak-kanak perempuan.
Mangsa pemerdagangan kanak-kanak dalam abad ke-21 bahkan dijual dengan harga serendah AS$100 (RM415).
Bertitik tolak daripada itu, Bibi Russell yang asalnya adalah gadis kampung biasa ingin membuka pintu kepada kanak-kanak itu memulakan hidup baharu yang penuh dengan maruah dan kasih sayang.
Bibi meletakkan sepenuh pengharapan untuk menghabiskan kerja sukar ini dan berharap ia akan membuahkan hasil.
Sejak akhir 1990-an, Bibi bekerja keras membangunkan tekstil tradisional dan kraftangan, memberikan peluang kepada ribuan orang untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Kita harus berterima kasih dengan sentuhan ‘jari magis’ Bibi yang berjaya mengubah nasib penduduk di negara kelas ketiga.
PERMULAAN KARIER
Ibu saya sering menjahit baju untuk kami adik beradik. Kakak saya tidak pernah mengeluh tentang baju yang dijahit sedangkan saya sering tidak berpuas hati hasil jahitan ibu.
Semasa berusia 10 tahun, ayah saya membelikan mesin jahit. Ketika itu, saya mula melihat bagaimana proses jahitan bermula.
Ketika menjengah usia 15 tahun, ayah saya memberikan hadiah buku tentang butik fesyen Chanel.
Saya mula mengenal tentang French haute couture dan saya sedar ada sesuatu yang ingin saya pelajari tentang fesyen.
Saya pernah menerima pelbagai anugerah bagi hasil seni ketika berusia enam dan 12 tahun, tetapi saya tidak mahu mempelajari seni ketika itu.
Saya mahu belajar cabang ilmu lain kerana saya ingin ke London.
Selepas lebih enam bulan, London College of Fashion menolak permohonan saya. Namun, akhirnya permohonan saya diterima dengan banyak syarat ditetapkan.
KELUARGA
Anak kepada pasangan Mokhlessur Rahman dan Shamsunnahar Rahman membesar di Bangladesh.
Saya pulang ke kampung halaman agak kerap semasa tinggal di luar negara.
Saya dilahirkan di Bangladesh dan membesar di sana. Saya fikir zaman kanak-kanak banyak memberikan kesan kepada kehidupan.
Saya mempunyai sebuah keluarga yang sangat meriah. Ibu bapa saya ajar untuk menghargai budaya sendiri termasuk budaya negara lain.
Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang telah mendidik saya dengan baik.
Saya belajar tentang India dan budaya negara lain.
Saya fikir ibu bapa perlu mengajar anak-anak mereka tentang budaya dan tradisi supaya ia tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
TUBUHKAN BIBI PRODUCTION
Kami mempunyai 30 pekerja di pejabat daripada pelbagai kawasan di Bangladesh.

Ramai pekerja yang asalnya berfikir mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk bekerja di pejabat, tetapi saya berjaya mengesan kebolehan individu dengan sikap positif.
Kami bekerja dengan ribuan penenun kain, saya tidak ingat secara tepat tetapi sekitar 100,000 orang.
Anda mungkin berfikir ia adalah jumlah yang besar, tetapi jumlah itu tidak sampai satu peratus jumlah penduduk di negara ini.
Saya berharap dapat mencapai sesuatu sebelum mati, banyak perkara lagi yang perlu dibuat.
Di negara seperti India, Bangladesh, pertanian adalah sektor penting ekonomi selain kraftangan.
Saya bekerja dengan orang yang bekerja dengan tangan, fesyen untuk perkembangan.
UBAH NASIB WANITA
Selama 22 tahun tinggal di negara barat, saya pulang semula ke Bangladesh pada 1994. Kenapa?
Sejak kecil saya sudah tanam impian dan saya tidak faham kenapa ramai penduduk Bangladesh hidup dalam kemiskinan.
Bagi saya, negara ini kaya dengan warna dan muzik.
Apabila saya mengembara ke negara Eropah, saya datang dengan azam.
Suatu hari nanti, saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk pulang ke tanah air sendiri.
Saya percaya penduduk Bangladesh memerlukan saya sebagaimana saya juga memerlukan mereka.
Kalau bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Kini, selepas lebih 20 tahun pengalaman menceburi bidang ini, saya tahu apa yang ingin saya buat.
Mereka tahu saya hormat mereka dan membantu mereka memiliki maruah diri. Itu sangat penting.
Selain itu, mereka memberikan saya sepenuh kasih sayang, ini yang memberikan kekuatan untuk saya bergerak ke hadapan.
Tiada apa yang mampu menghalang saya untuk meninggalkan kerjaya ini.
KEMUNCAK KARIER
Pada Disember 2017, Bibi mengambil bahagian dalam Rajasthan Heritage Week yang menampilkan koleksi khadi miliknya.
Pertunjukan fesyen itu adalah penghargaan buat Mahatma Gandhi dan Rajasthani.

Dia bekerja di Liluah Home yang merupakan rumah perlindungan terbesar untuk kanak-kanak perempuan sejak September 2017.
Bibi mengajar dan menyuntik motivasi kepada kanak-kanak kerana sebahagian daripada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia.
Dia mengajar bagaimana menjana pendapatan menerusi kemahiran.
Usahanya berbaloi dan terbalas. Pada 7 Mac 2018, seramai 33 kanak-kanak perempuan daripada rumah perlindungan itu termasuk enam pelarian Rohingya memperagakan pakaian semasa pertunjukan fesyen yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kolkata dan Russell.
Mereka memakai pakaian yang direka sendiri oleh penghuni di rumah perlindungan itu yang dilatih menjadi pereka fesyen Bangladesh.










