KUALA LUMPUR: Penyelarasan antara agensi penguat kuasa dengan pemain industri perlu diperkukuh bagi memastikan pengendalian kargo petroleum dan minyak sawit di pelabuhan lebih teratur.
Pemain industri, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, garis panduan jelas mengenai pengisytiharan, pencampuran produk dan dokumentasi kargo penting bagi membantu syarikat perkapalan serta pedagang memahami keperluan pematuhan.
Menurut ketua pegawai eksekurif maritime network sdn bhd itu, antara perkara yang memerlukan penjelasan ialah prosedur mencampurkan produk dari negara berlainan dalam tangki kapal sama, selain kaedah memastikan kandungan sebenar kargo sepadan dengan maklumat yang diisytiharkan.
Menurutnya, ketidakpastian mengenai perkara yang dibenarkan, kelulusan diperlukan dan dokumen sokongan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.
Jeyenderan berkata, isu itu turut menimbulkan cabaran kepada institusi pendidikan untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan yang selari dengan amalan sebenar industri.
“Bagaimana kita boleh mendidik pelajar dengan betul sekiranya peraturan itu sendiri tidak jelas? Kita tidak boleh mengajar pelajar berdasarkan andaian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengendalian kargo minyak sawit dan petroleum memerlukan pengisytiharan tepat mengenai jenis produk, kualiti, komposisi serta kuantiti.
Bagi minyak sawit, beliau berkata, garis panduan lebih jelas diperlukan berhubung amalan mencampurkan produk dari negara berlainan dalam tangki kapal yang sama, termasuk keperluan kelulusan dan pengisytiharan negara asal.
Sementara itu, pemeriksaan kargo petroleum perlu memastikan produk sebenar sepadan dengan maklumat dalam dokumen perkapalan, termasuk spesifikasi, klasifikasi dan kuantitinya.
“Persoalan asasnya ialah: Adakah kita benar-benar pasti bahawa apa yang diisytiharkan dalam dokumen sama dengan apa yang dibawa, dikendalikan dan dihantar?” katanya.
Jeyenderan menggesa pemeriksaan fizikal dan ujian makmal diperkukuh mengikut keperluan serta tahap risiko kargo, khususnya bagi penghantaran yang mencurigakan atau melibatkan proses pencampuran produk.
Beliau turut mencadangkan penyelarasan lebih baik antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan agensi berkaitan bagi memastikan garis panduan diterangkan dengan jelas serta dilaksanakan secara konsisten.
“Prosedur pengendalian kargo yang jelas dan teratur dapat membantu mengurangkan risiko perundangan, kewangan serta operasi kepada syarikat, selain melindungi hasil kerajaan dan reputasi Malaysia sebagai hab perdagangan antarabangsa,” katanya.-UTUSAN











