Air mata iringi penerimaan ijazah arwah Najwa

Air mata iringi penerimaan ijazah arwah Najwa

AZHAR Saud dan Sarina Said menunjukkan gambar Najwa Mawardah Azhar bersama Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mikroelektronik pada istiadat konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kegembiraan menerima ijazah sarjana bertukar hiba apabila ibu bapa Allahyarhamah Najwa Mawardah Azhar, 30, terpaksa naik ke pentas bagi menerima skrol Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mikroelektronik yang tidak sempat digenggam anak mereka.

Lebih memilukan, Allahyarhamah sempat berkongsi berita kejayaan menamatkan pengajian itu dengan keluarga kira-kira seminggu sebelum meninggal dunia ketika bercuti di Yogyakarta, Indonesia pada 30 Ogos lalu.

Bapanya, Azhar Saud, 60, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu menghubunginya bagi menyampaikan berita gembira berkenaan selain mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan semua pihak yang membantunya sepanjang pengajian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Najwa yang juga satu-satunya anak perempuan dalam keluarga bekerja sebagai jurutera perisian sebelum mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Anak saya bekerja sambil belajar dan berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh setahun. Malah, dia juga merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak USM kerana memberi peluang kepada anak saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan,” katanya selepas menerima skrol Ijazah Anumerta anaknya pada Istiadat Konvokesyen USM Ke-64, di sini hari ini.

Mengimbas kejadian, Azhar berkata, anaknya meninggal dunia di Hospital Sardjito, Yogyakarta selepas mengalami kecederaan otak susulan rebah secara tiba-tiba ketika bercuti bersama lapan rakannya dari Malaysia.

Katanya, Najwa yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini sempat mendaki Gunung Merbabu tiga hari sebelum kejadian sebelum meneruskan aktiviti percutian seperti biasa.

“Dia sudah selesai semua aktiviti dan dalam proses untuk pulang ke Malaysia apabila tiba-tiba rebah sebelum dibawa ke hospital.

“Dia dimasukkan ke hospital selama tiga hari sebelum meninggal dunia pada hari ketiga. Saya terus bergegas ke Indonesia pada petang kejadian dan sempat menjaganya selama dua hari sebelum beliau dijemput Ilahi,” katanya.

Menurut Azhar, antara kenangan yang sukar dilupakan ialah panggilan telefon terakhir Najwa kepada ibunya, Sarina Said, 60, kira-kira sejam sebelum kejadian apabila anaknya bertanyakan sama ada ibunya menyayanginya.

“Pada malam sebelum kejadian, dia menghubungi kami dan keluar makan bersama rakan-rakannya. Pada pagi kejadian pula, dia menghantar sekeping gambar kepada kami dengan menulis ‘This is the last picture’.

“Ketika itu, kami tidak terfikir apa-apa. Kira-kira sejam sebelum rebah, dia turut menelefon ibunya dan bertanya, ‘Umi sayang saya tak’. Sudah tentu ibunya menjawab bahawa dia sangat menyayanginya kerana Najwa satu-satunya anak perempuan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini