Sampai bila kita nak tanggung pelarian?

Sampai bila kita nak tanggung pelarian?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi mempersoalkan peranan kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam menangani isu kemasukan serta penempatan pelarian di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana rakyat Malaysia sudah lama memikul beban susulan isu berkenaan.

Menurutnya, sedangkan Malaysia sebelum ini dikategorikan sebagai negara transit bagi pelarian yang menunggu penempatan ke negara ketiga.

Justeru, Malaysia tidak boleh menjadi lokasi lambakan pelarian walaupun dijanjikan sementara sebaliknya perlu pendekatan lebih berstrategi menangani masalah ini.

Oleh itu, kerajaan perlu melihat negara lain yang berpotensi sebagai destinasi penempatan semula pelarian Rohingya dari Malaysia menerusi mekanisme penempatan semula antarabangsa.
Antaranya Australia, Kanada dan United Kingdom (UK) antara negara yang berpotensi dipertimbangkan.

Langkah itu juga dilihat dapat membuka ruang kepada penyelesaian lebih tersusun, khususnya bagi pelarian yang sudah lama berada di Malaysia tanpa kepastian mengenai masa depan mereka.

Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan sebarang usaha penempatan semula dilaksanakan melalui rundi­ngan diplomatik dan kerjasama dengan negara ketiga serta organisasi antarabangsa berkaitan.

Pendekatan itu penting bagi memastikan tanggungjawab menangani isu pelarian tidak hanya tertumpu kepada negara transit seperti Malaysia, sebaliknya dikongsi secara lebih adil oleh masyarakat antarabangsa.

Malaysia juga perlu terus mengambil kira kepenti­ngan rakyat tempatan dalam merangka dasar berkaitan pelarian termasuk memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan imigresen diberikan perhatian sewajarnya.

Pada masa sama, peranan UNHCR perlu diberikan perhatian kerana agensi berkenaan mempunyai tanggungjawab dalam urusan perlindungan pelarian termasuk mengenal pasti individu yang memerlukan penempatan semula ke negara ketiga.

Ini penting bagi mengelakkan isu pelarian terus menjadi beban berpanjangan kepada negara terutama apabila Malaysia berdepan keperluan menguruskan pelbagai tuntutan domestik yang turut memerlukan perhatian dan peruntukan kerajaan.

Dalam masa sama, sebarang keputusan berkaitan penempatan pelarian perlu mengambil kira kepentingan rakyat tempatan termasuk aspek keselamatan, kebajikan, pengurusan imigresen dan kesejahteraan sosial.

Kerajaan juga perlu memastikan pendekatan yang diambil tidak mengabaikan prinsip kemanusiaan, memandangkan pelarian Rohingya berdepan pelbagai kesukaran dan memerlukan perlindungan daripada ancaman serta penindasan di negara asal.

Bagaimanapun, penyelesaian isu berkenaan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Malaysia. Kerjasama lebih erat antara kerajaan, organisasi pelarian dan negara ketiga perlu diperkukuh supaya tanggungjawab menguruskan pelarian dapat dikongsi secara lebih seimbang oleh masyarakat antarabangsa.

Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia