Anugerah Saintis Muda Negara 2026: Meraikan kecemerlangan penyelidikan berimpak tinggi

Anugerah Saintis Muda Negara 2026: Meraikan kecemerlangan penyelidikan berimpak tinggi

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang bersama-sama saintis dalam pelbagai bidang yang menerima Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mendepani landskap global yang semakin dipacu oleh kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI), keupayaan sesebuah negara untuk melahirkan saintis dan penyelidik muda merupakan antara faktor penting dalam menentukan daya saing serta kemajuan masa hadapan negara.

Menyedari kepentingan tersebut, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus komited memperkukuh pembangunan bakat STI negara melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk penganjuran Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN).

ASMN merupakan platform pengiktirafan berprestij yang bertujuan menghargai kecemerlangan saintis dan penyelidik muda Malaysia yang telah menunjukkan sumbangan signifikan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) STI.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengiktirafan ini bukan sekadar meraikan pencapaian akademik dan penyelidikan, malah mengiktiraf potensi, kreativiti serta keupayaan golongan saintis muda dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Bagi tahun 2026, ASMN telah mengiktiraf lima orang saintis muda melalui lima kategori utama, iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Industri.

Penerima bagi kategori Biologi ialah Profesor Madya Dr. Nadiah Abu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala kategori Fizik dimenangi oleh Ts. Dr. Chen Ruey Shan, juga dari UKM.

Kategori Kimia pula menerima pengiktirafan menerusi pencapaian oleh Profesor Madya Ts. ChM. Dr. Noorfatimah Yahaya dari Universiti Sains Malaysia (USM), sementara kategori Kejuruteraan dimenangi oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Bagi kategori Industri, pengiktirafan diberikan kepada Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari syarikat Visionlytics Sdn. Bhd.

Kepelbagaian bidang kepakaran dan hasil penyelidikan para penerima ASMN 2026 memperlihatkan keupayaan saintis muda negara yang berumur di bawah 40 tahun dalam meneroka penyelesaian terhadap pelbagai cabaran semasa.

Daripada penyelidikan extracellular vesicles dalam bidang kanser kolorektal, pembangunan bahan komposit termaju berasaskan sisa pertanian dan polimer kitar semula, teknologi membran bagi pengesanan antibiotik, sehinggalah kepada aplikasi kejuruteraan pengkomputeran untuk tenaga bersih serta pembangunan sistem pengurusan pengeluaran pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), setiap pencapaian mencerminkan potensi penyelidikan tempatan untuk diterjemahkan kepada inovasi yang mempunyai nilai tambah kepada masyarakat, industri dan negara.

Pengenalan kategori Industri pada tahun ini turut memperkukuh dimensi pengiktirafan ASMN dengan memberi perhatian kepada kejayaan membawa hasil penyelidikan ke peringkat aplikasi, penggunaan dan pengkomersialan.

Pendekatan ini mencerminkan aspirasi negara untuk beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta dan pembangun teknologi yang mampu bersaing di peringkat global.

Inisiatif ASMN juga selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta kerangka Malaysia Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE) 10-10 yang menekankan pembangunan bakat, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan penghasilan inovasi berimpak tinggi.

MOSTI percaya bahawa kecemerlangan saintis muda perlu terus diperkasa melalui sokongan ekosistem yang kondusif, pembiayaan penyelidikan berfokus serta kerjasama strategik antara kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan industri.

ASMN bukan sekadar sebuah anugerah, tetapi manifestasi komitmen negara dalam membina generasi saintis muda yang berdaya saing, berwawasan dan berupaya mencorakkan masa depan negara.

MOSTI turut menyeru lebih ramai saintis dan penyelidik muda untuk tampil mengetengahkan hasil penyelidikan serta menyertai pencalonan ASMN pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini