KUALA LUMPUR: Lapan pusat penyembelihan haram didakwa mampu mengaut keuntungan sehingga RM10,000 sehari apabila menggunakan khidmat pekerja bukan Islam bagi melakukan proses penyembelihan pelbagai daging haiwan.
Pusat penyebelihan yang terletak di lima negeri iaitu Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Perak itu dipercayai beroperasi antara dua bulan sehingga empat tahun dengan melaksanakan proses penyembelihan tanpa mematuhi hukum syarak.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan Operasi (Op) Salju yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 9 November sehingga semalam.
Katanya, daripada lapan premis berkenaan, empat premis menggunakan pekerja bukan beragama Islam untuk melakukan penyembelihan manakala empat premis lagi menggunakan pekerja beragama Islam.
“Apabila penyembelihan dilakukan oleh mereka yang tidak memenuhi syarat ini, sembelihan itu tidak sah dan daging itu tidak halal. Dalam Islam, penyembelihan bukan sekadar memotong. Ia adalah ibadah dan mempunyai syarat wajib, antaranya penyembelih mestilah seorang Muslim, berakal, dan menyebut nama Allah SWT ketika menyembelih.
“Apabila daging tidak halal masuk ke dalam pasaran, ia mengkhianati kepercayaan umat Islam. Ini bukan isu teknikal, sebaliknya isu akidah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, siasatan mendapati rangkaian sindiket yang menggaji 55 pekerja dengan upah antara RM50 hingga RM200 sehari dan beroperasi secara tersembunyi dan mampu meraih keuntungan harian antara RM1,500 sehingga RM10,000.
“Premis-premis itu dikesan melakukan penyembelihan yang tidak betul dan diragui iaitu disyaki menggunakan kaedah renjatan elektrik sebelum disembelih. Terdapat juga situasi di mana kepala ayam ditarik dan terus dipotong tanpa melalui proses sembelihan sebenar,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya memberi jaminan rantaian pengedaran sindiket terbabit sudah diputuskan sepenuhnya dan pemantauan berterusan akan diperketat bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Saya menyeru kepada masyarakat, jadilah mata dan telinga kami. Jika anda melihat premis penyembelihan yang mencurigakan dan beroperasi secara tersembunyi, laporkan kepada kami.
“Soal halal ini bukan soal satu agensi sahaja, ini adalah soal maruah umat Islam dan tanggungjawab bersama,” ujarnya. – UTUSAN











