KUALA LUMPUR: Rekod jenayah dan latar belakang setiap pekerja asing diperiksa menerusi sistem bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mereka dibenarkan memasuki negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, proses saringan itu merupakan antara prosedur wajib yang perlu dilalui setiap pekerja asing yang ingin diambil bekerja di negara ini.
Menurutnya, majikan juga perlu mematuhi semua proses dan ketetapan ditetapkan kerajaan sebelum menggaji pekerja asing.
“Mana-mana pekerja asing yang mahu digaji perlu melalui proses yang telah ditetapkan. Sebelum mereka memasuki negara ini, kita menggunakan sistem yang diintegrasikan dengan PDRM untuk menyemak sama ada mereka mempunyai kes jenayah terdahulu atau rekod tidak baik.
“Saya percaya kita akan sentiasa melihat kaedah terbaik bagi memastikan insiden yang disebutkan tadi dapat dikurangkan demi keselamatan pekerja dan warganegara kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (Padang Terap-PN) yang meminta kerajaan menjelaskan jaminan serta inisiatif bagi memastikan pekerja asing yang diluluskan kuota pekerjaan diberikan pendedahan mengenai undang-undang dan
aspek keselamatan sepanjang berada di negara ini.
Nurul Amin turut membangkitkan kebimbangan berhubung beberapa insiden jenayah yang didakwa membabitkan warga asing, selain meminta kerajaan memperketat pemantauan dan kawalan bagi menjamin keselamatan rakyat tempatan. – UTUSAN











