KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meraih tempat ketiga Anugerah Kesedaran dan Media peringkat antarabangsa bagi musim haji tahun ini pada Persidangan dan Pameran Haji Edisi Keenam di Jeddah, Arab Saudi, baru-baru ini.
Pengiktirafan itu diberikan atas usaha TH memperkukuh program pendidikan, bimbingan dan penyampaian maklumat bagi meningkatkan tahap kefahaman serta kesiapsiagaan jemaah haji Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan program pendidikan dan bimbingan haji yang dilaksanakan pihaknya, selain peranan media massa serta media sosial.
“Kejayaan itu menjadi pemangkin kepada TH untuk terus mempertingkatkan mutu program bimbingan haji dan penyebaran maklumat berkaitan haji melalui pemerkasaan kandungan digital, penggunaan teknologi serta pendekatan komunikasi yang lebih berkesan dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan jemaah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, penilaian anugerah itu mengambil kira beberapa aspek termasuk kualiti kandungan pendidikan, kepelbagaian saluran penyampaian maklumat serta keberkesanan program bimbingan haji.
Berdasarkan kaji selidik Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji tahun ini, TH mencatatkan Indeks Kesedaran Keseluruhan sebanyak 72.7 peratus.
Mustakim berkata, dapatan kaji selidik itu turut membantu TH mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memperkukuh tahap kesedaran dan kesiapsiagaan jemaah haji Malaysia.
“TH kekal komited untuk memastikan setiap jemaah haji Malaysia mendapat akses kepada maklumat dan bimbingan yang menyeluruh, sekali gus memperkukuh mutu perkhidmatan serta pengalaman menunaikan ibadah haji di Tanah Suci,” ujarnya.
Anugerah yang berlangsung dari 8 hingga 11 November lalu itu turut menyaksikan pengiktirafan kepada beberapa negara lain termasuk Turkiye, Singapura, Iraq, Syria, Tunisia dan Ethiopia. – UTUSAN











