PETALING JAYA: Penglibatan aktif dalam lebih 150 program dan aktiviti sepanjang pengajian membolehkan seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pelajar Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRMSA) 2026.
Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, 24, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian menerima pengiktirafan itu pada Majlis Penganugerahan Akreditasi Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) di sini, 5 November lalu.
Anugerah berkenaan diberikan kepada pelajar cemerlang dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, kepimpinan serta penglibatan dalam industri.
Sepanjang pengajian, Muhammad Akmal aktif menyertai pelbagai program membabitkan kepimpinan, kewartawanan, penerbitan media, pengacaraan dan kesukarelawanan.
Beliau turut menerajui Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) USIM sebagai Presiden selama dua penggal berturut-turut, selain menjalani latihan industri sebagai wartawan pelatih di Utusan Malaysia di bawah Media Mulia Sdn. Bhd.
Dalam bidang akademik, beliau menerima Anugerah Dekan bagi Semester 4, 5 dan 6, selain dinobatkan sebagai Tokoh Sukarelawan Siswa serta Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa menerusi Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) 2024/2025.
Penyelidikan tahun akhirnya bertajuk ‘Meneroka Penggunaan Kecerdasan Buatan dalam Kalangan Wartawan Malaysia bagi Proses Penerbitan Berita’ turut menerima pengiktirafan Pembentang Terbaik pada Pameran Projek Tahun Akhir 2025.
Kajian mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan wartawan Malaysia itu kemudiannya dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-26 bagi Komunikasi, Pendidikan, Bahasa dan Sains Sosial.
Muhammad Akmal berkata, mahasiswa perlu berani mencuba perkara baharu dan merebut peluang yang tersedia bagi meningkatkan kemahiran serta pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan.
“Jangan sesekali takut atau berasa malu untuk mencuba. Rebut setiap peluang yang terhidang di depan mata dan berikan usaha yang terbaik kerana tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika kita berani melangkah,” katanya.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa supaya berani menonjolkan identiti sendiri, berfikiran kreatif dan menghasilkan karya yang mempunyai keunikan tersendiri.
Sementara itu, IPRMSA merupakan persatuan mahasiswa di bawah IPRM yang berperanan memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan industri perhubungan awam dan komunikasi.
Anugerah yang diperkenalkan pada 2026 itu bertujuan mengiktiraf mahasiswa yang menunjukkan kecemerlangan akademik, pemikiran strategik, kepimpinan beretika dan kemahiran komunikasi sebagai persediaan memasuki industri. – UTUSAN











