PUTRAJAYA: Seramai 2,745 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di 16 pusat peperiksaan di seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,662 calon adalah calon sekolah manakala 83 lagi calon persendirian.
Beliau berkata, peperiksaan berkenaan akan dikendalikan dengan bantuan 166 petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
“Kami ingin mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.
Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ketika hadir ke pusat peperiksaan masing-masing,” katanya .
Beliau ditemui selepas meninjau pusat peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) di sini hari ini yang turut disertai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad.
Seramai 243 calon mengambil SPM di SMK Putrajaya Presint 16(1) pagi ini.
Dalam pada itu, Nadimin berkata, pihaknya menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan SPM 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur selain mendoakan semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera. – UTUSAN











