Bursa merudum, hilang berbilion ringgit - Utusan Malaysia

Bursa merudum, hilang berbilion ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesan krisis politik, peningkatan kes Covid-19

PETALING JAYA: Indek Bursa Malaysia yang jatuh 21.44 mata sekali gus mengkibatkan ‘kehilangan’ berbilion ringgit semalam adalah reaksi serta-merta pelabur ekoran terkesan dengan ketidakstabilan suasana politik semasa negara.

Pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 21.44 mata kepada 1,508.71 berbanding penutupan urus niaga Rabu pada 1,530.15. Indeks mencecah paras 1,504.63 mata, susut 25.52 mata sejam sebelum itu. Ia merupakan kejatuhan terburuk dalam tempoh hampir sembilan bulan, sejak November 2020.

Selain pasaran saham, kemelut yang berlaku turut memberi kesan kepada prestasi ringgit yang didagangkan lebih tinggi berbanding dolar apabila ditutup pada kadar 4.1815 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1620 kelmarin.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelabur-pelabur asing juga dilihat mengelak daripada melabur di Malaysia buat sementara waktu sehingga keadaan politik kembali stabil dan lebih jelas arah tujunya.

“Pasaran saham negara masih lagi belum mencapai fasa pemulihan, apatah lagi masuk ke early-bull.

“Jadi, apabila ditambah pula dengan keadaan politik semasa yang tidak menentu, ia memberi reaksi negatif sekali gus menyukarkan pasaran saham negara menarik pelaburan asing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Awal pagi semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti tersebut menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta sekali gus mencetuskan polemik baharu politik tanah air.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi turut menegaskan, peningkatan kes Covid-19 walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak awal bulan ini turut memberikan sentimen negatif yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi bursa.

Jelasnya, jika dibandingkan, pasaran serantau terus meningkat semalam, malah pasaran AS melonjak ke paras tertinggi untuk indek NASDAQ dan S&P500.

“Sewaktu PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac 2020, pasaran saham KLCI telah mencecah paras terendah namun ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya. Bursa hanya berada di paras yang memuaskan dengan siri PKP yang berterusan sehingga kini.

“Namun, negara kita masih lagi berdepan kesukaran untuk pulih dengan peningkatan kes Covid-19 serta program vaksinasi yang perlahan. Sekiranya program vaksinasi tidak dipercepatkan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan kekal di fasa satu dan mengambil masa untuk mara ke fasa seterusnya.

“Kunci kepada penyelesaian masalah ini adalah mencapai imuniti kelompok. Kita dapat lihat negara-negara yang telah mencapai vaksinasi antara 40 ke 50 peratus telah berjaya mengurangkan jangkitan Covid-19 dan memulihkan ekonomi contohnya AS yang telah mencapai 48 peratus imuniti kelompok,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×