Bandar Madani Maran contohi Bandar Tun Abdul Razak

Bandar Madani Maran contohi Bandar Tun Abdul Razak

LANDSKAP Bandar Maran lebih maju apabila Bandar Madani Maran berjaya direalisasikan dalam tempoh lima tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kejayaan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai sebuah pusat pentadbiran, pendidikan dan ekonomi masyarakat Felda menjadi model kepada pembangunan Bandar Madani Maran yang dicadang untuk dibangunkan di Kampung Bot-Bot, Ulu Kerut, Mukim Chenor di sini.

Pengarah Astana Timur Sdn. Bhd., Nasaruddin Abdullah berkata, cadangan pembangunan bandar baharu itu mengambil inspirasi daripada kejayaan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang kini semakin berkembang maju.

“Kita akan menggunakan model pembangunan Bandar Tun Abdul Razak Jengka sebagai rujukan yang terbukti berjaya mewujudkan kawasan penempatan bandar atau urban settlement area yang berkembang maju.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, konsep Bandar Madani Maran akan lebih mesra alam serta mengutamakan suasana kehidupan yang aman dan damai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Nasaruddin, projek yang dicadangkan syarikatnya itu berpotensi mengubah landskap kawasan luar bandar, sekali gus membuka peluang pelaburan, pekerjaan, perniagaan dan pemilikan rumah kepada penduduk, khususnya generasi muda di daerah Maran.

Beliau berkata, kertas cadangan pembangunan bandar baharu seluas 161.87 hektar itu  memohon geran pembangunan kira-kira RM211 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai kerja penyediaan tapak, jalan raya utama, sistem perparitan dan kumbahan berpusat.

Nasaruddin berkata, pihak syarikat juga sedang berunding dengan Yayasan Pahang supaya Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang diluluskan peruntukan RM15 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 dapat dibina di tapak yang dikenal pasti dalam pelan susun atur bandar baharu berkenaan.

Berdasarkan kertas cadangan, tapak pembangunan terletak berhampiran Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), kira-kira 30 kilometer dari Bandar Tun Abdul Razak Jengka, 50 kilometer dari Temerloh serta 60 kilometer dari Jerantut dan bandar Maran sekali gus berpotensi menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu di kawasan Chenor dan Ulu Kerut.

Antara komponen utama pembangunan ialah pembinaan 861 unit kediaman merangkumi 665 rumah teres, 128 rumah berkembar dan 68 rumah sesebuah bagi memenuhi keperluan perumahan masyarakat pelbagai peringkat pendapatan.

Sektor perindustrian pula melibatkan cadangan pembinaan 139 premis terdiri daripada 69 kilang teres, 36 kilang berkembar dan 34 kilang sesebuah manakala sektor perniagaan menyediakan 164 unit kedai teres, empat plot perniagaan, medan selera serta stesen minyak.

Dalam sektor pendidikan, selain Maahad Tahfiz Negeri Pahang, pelan pembangunan turut menyediakan tapak bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta kompleks sekolah menengah dan rendah bagi memperluas kemudahan pendidikan kepada masyarakat setempat.

Kemudahan awam yang dicadangkan pula merangkumi masjid dan pusat Islam, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba, dewan orang ramai, terminal bas serta kawasan rekreasi bagi mewujudkan persekitaran penempatan yang lengkap dan terancang.

Daripada aspek kewangan, kertas cadangan itu menganggarkan nilai jualan keseluruhan komponen perumahan, perniagaan dan perindustrian sebanyak RM379.85 juta manakala anggaran kos pemajuan berjumlah RM231.66 juta.

Menurut dokumen berkenaan, pembangunan Bandar Madani Maran bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan secara lebih ekonomik, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini