KUALA LUMPUR: Seramai 125,000 peminat membanjiri TM Stadium Nasional, Bukit Jalil selama dua malam bagi menyaksikan persembahan kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), pada 19 dan 20 November lalu.
Kehadiran kira-kira 62,000 penonton pada malam pertama dan 63,000 pada malam kedua menjadikan Kuala Lumpur antara lokasi utama dalam siri jelajah Asia Tenggara kumpulan itu.
Jumlah kehadiran tersebut sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa peminat tempatan terhadap kumpulan yang terkenal menerusi lagu-lagu bergenre rock alternatif itu.
Konsert berkenaan turut menamatkan penantian hampir 18 bulan peminat sejak pengumuman awal persembahan itu dibuat, sebelum berdepan beberapa cabaran termasuk penangguhan tarikh penganjuran.
Sepanjang dua malam, Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang turut menghayati setiap persembahan, menjadikan konsert itu pengalaman penuh emosi buat mereka.
Bagi sebahagian peminat, kemunculan MCR di Kuala Lumpur bukan sekadar menyaksikan persembahan secara langsung, malah menjadi peluang mengimbau kenangan zaman remaja yang banyak dipengaruhi muzik kumpulan berkenaan.
Kejayaan membawa kumpulan itu ke Malaysia turut menjadi pencapaian buat penganjur, Hello Universe, yang menggerakkan usaha merealisasikan konsert berkenaan sejak hampir satu setengah tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, penganjur berdepan pelbagai cabaran termasuk penangguhan persembahan, selain sambutan tinggi ketika penjualan tiket yang memperlihatkan permintaan besar dalam kalangan peminat.
Kehadiran 125,000 penonton sepanjang dua malam itu turut memperlihatkan potensi Malaysia sebagai destinasi pilihan artis antarabangsa untuk mengadakan persembahan berskala besar di rantau ini.










