AMPANG: Meskipun menyertai Gegar Vaganza Fantasia mulai Ahad ini, penyanyi, Ara Johari enggan menolak rezeki untuk terus menerima tawaran persembahan sepanjang tempoh pertandingan berkenaan.
Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, 27, berkata, dia masih menerima tawaran nyanyian, khususnya persembahan yang berlangsung pada sebelah siang dan tidak mengganggu jadual pertandingan.
“Tak tolak dik, tak tolak! Esok ada persembahan, lusa pun ada, tapi sebelah siang,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Sedekad Bersuara, di The Campus Ampang, pada Jumaat.
Pun begitu, penyanyi itu mengakui penyertaannya dalam Gegar Vaganza Fantasia itu turut disertai perasaan gementar apabila perlu bersaing dengan barisan peserta yang lebih berpengalaman dalam industri muzik.
“Cuma saya agak takut juga sebab perlu bersaing dengan senior yang mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya baru 10 tahun dalam industri, mungkin mereka sudah 20 tahun atau belasan tahun.
“Apa yang saya sentiasa ingatkan diri sendiri adalah untuk menikmati pertandingan ini. Tersingkir atau menang kalah itu adat pertandingan. Apa pun berlaku, saya hanya mahu menikmati persembahan,” katanya.
Menganggap pertandingan itu sebagai peluang untuk mengembangkan pengalaman, Ara berkata, penyertaan dalam GV Fantasia juga menjadi impiannya kerana dapat berkongsi pentas dengan penyanyi yang pernah bergelar juara.
“Walaupun kita sudah ada banyak pengalaman, kita masih memerlukan platform seperti ini untuk kekal relevan.
“’Rating’ GV juga sangat tinggi dan menyertai GV Fantasia sebenarnya satu impian untuk saya kerana berpeluang bertanding dengan mereka yang pernah bergelar juara.
“Pada masa sama, saya memang takut juga, tetapi anggap ini sebagai satu pembelajaran. Selepas sedekad berada dalam industri menerusi perjalanan Sedekad Bersuara, saya rasa seperti kembali kepada suasana Akademi Fantasia,” jelasnya.
Semalam, Ara menghiburkan peminat menerusi konsert Sedekad Bersuara yang menandakan 10 tahun perjalanan seninya dalam industri muzik.
Selain menyampaikan lagu popular seperti Menjaga Jodoh Orang, Warkaha Untukku dan Bunga, Ara turut mempersembahkan lagu baharu ciptaan Hael Husaini buat pertama kali.











