Jangan sampai ‘rosak’ Persekutuan - Utusan Malaysia

Jangan sampai ‘rosak’ Persekutuan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjuangan me­nuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu mengambil kira kepentingan ne­geri itu dan Persekutuan bagi memastikan keseimbangan dalam hubungan kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan terbaik adalah meng­optimumkan hak yang sewajar­nya diperoleh Sarawak menerusi rundingan serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tuntutan hak Sarawak tidak seharusnya menjejaskan kepentingan Persekutuan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan sistem tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak boleh menuntut sehingga merosakkan kepentingan Persekutuan, sebab kita sebuah persekutuan. Maknanya kita kena mengimbangi kepentingan kedua-duanya,” katanya ketika sesi dialog sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam.

Fadillah menjawab soalan peserta mengenai hala tuju Sarawak serta perjuangan mendapatkan hak negeri di bawah MA63.

Pada bulan lalu, sebanyak 12 perkara dalam MA63 dilaporkan telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara yang telah dimuktamadkan adalah wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Ne­geri (LHDN).

Katanya, Pelabuhan Bintulu diserah dan menjadi pelabuhan milik Sarawak, MASWings pula dikendalikan Sarawak sebagai AirBorneo.

Beliau berkata, kerjasama an­tara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diperlukan memandangkan terdapat urusan yang melibatkan bidang kuasa masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, rancangan penjualan bekalan tenaga dari Sarawak ke Singapura dan Semenanjung yang melibatkan laluan melalui perairan Indonesia memerlukan kebenaran negara berkenaan menerusi rundingan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, ujarnya, usaha sedang dijalankan supaya Yayasan Sarawak atau kerajaan negeri mempunyai bangunan sendiri di Kuala Lumpur bagi menyediakan penginapan kepada pelajar serta anak Sarawak yang datang mendapatkan rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini