HANYU: Puluhan ribu peminat berhimpun di sebuah bandar berhampiran Tokyo pada Sabtu bagi menyaksikan lebih 200 karakter maskot bersaiz manusia yang mempromosikan bandar, kawasan dan perniagaan tempatan.
Di negara kelahiran Hello Kitty dan Pokemon itu, maskot digunakan untuk mempromosikan pelbagai lokasi, daripada penjara dan perkhidmatan kereta api hinggalah perniagaan swasta. Maskot yang popular pula mampu meraih status selebriti.
“Ini kali pertama saya menghadiri acara seperti ini, jadi saya agak teruja.
“Terdapat begitu banyak karakter yang mewakili tempat berbeza dan bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat golongan dewasa membawa barangan maskot pada beg mereka.
“Pada saya, itu sesuatu yang unik kepada masyarakat Jepun,” kata seorang pengunjung, Yuriko Okamori, 51, kepada AFP ketika menghadiri perhimpunan tahunan itu.
Perhimpunan maskot itu diadakan di bandar Hanyu sejak 2010 dan hampir 220 maskot dijemput menyertainya tahun ini, menurut penganjur.
Di atas pentas, sekumpulan maskot haiwan menari mengikut irama muzik pop rancak ketika orang ramai merakam aksi mereka menggunakan telefon pintar sambil bertepuk tangan.
Di kawasan lain, maskot kuda poni popular yang mewakili wilayah Gunma dikerumuni peminat yang mahu bergambar swafoto, manakala maskot kucing dibawa meredah kesesakan orang ramai menggunakan sebuah kereta sorong untuk bergerak di sekitar lokasi acara.
Pegawai bandar yang menyelia acara itu, Shogo Dei berkata, seramai 80,000 pengunjung menghadiri perhimpunan selama dua hari itu tahun lalu dan penganjur menjangkakan jumlah kehadiran yang hampir sama tahun ini.
“Karakter maskot tempatan yang mewakili wilayah masing-masing merupakan sebahagian daripada budaya Jepun. Matlamat kami adalah membantu menghidupkan semula bandar-bandar di seluruh Jepun menerusi karakter ini,” katanya kepada AFP.
Maskot di Jepun mampu menjana pendapatan berjuta-juta dolar jika berjaya meraih populariti, meskipun tidak mendapat pengiktirafan global seperti jenama harta intelek terkenal antaranya Pikachu.
Satu lagi karakter popular, Hikonyan, iaitu maskot kucing yang memakai topi keledar samurai dan dikaitkan dengan Istana Hikone di barat Jepun, turut membantu menarik pelancong ke kawasan berkenaan.
Karakter itu malah menerima kira-kira 10,000 kad ucapan Tahun Baharu dari seluruh Jepun pada Januari lalu.-AFP










