Stabilkan politik demi pemulihan ekonomi - Utusan Malaysia

Stabilkan politik demi pemulihan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menstabilkan ekonomi supaya negara dapat segera keluar dari krisis tiga penjuru yang dialami.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Malaysia ketika ini menghadapi krisis ekonomi, kesihatan dan politik dan persoalan utama yang perlu difikirkan kerajaan adalah untuk mengatasi krisis yang mana dahulu.

DR. BAHAROM ABDUL HAMID

Kata beliau, krisis kali ini juga disifatkan agak kronik kerana ia lebih menyeluruh dan memberi kesan kepada lebih ramai penduduk, baik di sektor pembinaan, pertanian, pembuatan dan keusahawanan baik yang berskala kecil atau sederhana.

“Paling utama, kerajaan harus menstabilkan politik, kurangkan bercakaran dan bekerja sebagai satu pasukan. Pastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan meluas.

“(Kita perlu) Buka kembali ke­giatan ekonomi secepat mungkin kerana kita tidak mampu menu­tupnya lebih lama lagi. Ia memudaratkan dan kerosakan akibat penutupan ini mungkin akan menjadi terlalu besar untuk dibaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, negara mungkin mengambil masa sehingga 15 tahun untuk pulih dari krisis ekonomi yang dialami ketika ini.

Baharom berpendapat, seberapa cepat negara mampu pulih daripada krisis semasa bergantung kepada banyak faktor termasuk keberkesanan langkah kerajaan menangani krisis kesihatan, ketepatan polisi untuk menarik pelabur luar dan kestabilan politik untuk negara bergerak dengan suara yang sekata.

Bagaimanapun, kata beliau, yang pasti ekonomi negara akan mengalami jajaran baharu baik dari segi struktur mahupun rantaian.

“Untuk kembali kukuh secara dasar dan (membentuk) struktur jajaran baharu akan mengambil masa. Untuk letakkan satu tempoh masa (yang tepat), ia agak sukar.

“Contohnya, kita pernah mengalami perubahan struktur ekonomi sewaktu krisis komoditi. Kita bina struktur ekonomi berasaskan pembuatan dan ia dapat dilakukan dalam tempoh kurang lima tahun. Kita pernah tersungkur akibat krisis kewangan dan kita kembali bangkit juga dalam tempoh yang hampir sama.

“Masalahnya, Malaysia sebuah ekonomi yang sangat terbuka. Ia mudah terkesan akibat krisis yang berlaku secara global. Namun, keterbukaan ekonomi juga dapat memacu pemulihan dalam tempoh yang agak singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×