PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan harimau belang yang dipercayai mengakibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli di kawasan hutan berhampiran Kampung Orang Asli Bawong, Sungai Siput, Perak, mati ditembak.
Perhilitan berkata, harimau tersebut ditembak mati selepas bertindak agresif menyerang kakitangan Perhilitan ketika operasi pemantauan dijalankan di kawasan berkenaan, awal pagi semalam.
Katanya, operasi tersebut telah diadakan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian terdahulu dan pihak jabatan melaksanakan kawalan serta pemantauan rapi di lokasi terbabit termasuk menggunakan dron bagi mengesan pergerakan haiwan liar berkenaan.
“Insiden serangan tersebut berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika anggota bertugas sedang menjalankan operasi pemantauan di kawasan berkenaan.
“Bagi mempertahankan diri dan mengelakkan ancaman terhadap keselamatan anggota, tembakan dilepaskan dari jarak kira-kira 10 meter (m) dan mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher harimau belang berkenaan.
“Haiwan itu bagaimanapun sempat melarikan diri sebelum berjaya dijejaki semula oleh pasukan operasi,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, karkas harimau belang itu kemudiannya ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi serangan berlaku.
“Pemeriksaan fizikal awal mendapati taring bawah sebelah kiri haiwan itu sudah tiada, manakala taring yang masih ada berada dalam keadaan tumpul selain terdapat kesan luka lama pada bahagian kanan perutnya.
“Karkas hidupan liar tersebut telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk proses bedah siasat serta tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN











