SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membolehkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ditentukan mengikut peruntukan perlembagaan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, perkara itu susulan Ismail menegaskan bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan dan tidak bersetuju surat berkenaan dihantar kepada pihak Istana.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ismail kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika majlis menghadap pagi tadi yang turut dihadiri YTM Dato’-Dato’ Undang.
“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar.
“Persoalan itu tidak timbul, kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan. Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan dan YAB Dato’ Ismail bin Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail juga perlu mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kebawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tuanku Muhriz menitahkan Ismail meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail hari ini turut menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Tuanku Muhriz seperti yang didakwa berlaku pada Isnin lalu.
Beliau berkata, tidak pernah bersetuju mahupun mengetahui mengenai penghantaran surat berkenaan dan hanya mengetahuinya menerusi kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di media sosial kira-kira pukul 10 malam pada hari berkenaan.
Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada 17 November memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selain menjelaskan pihaknya masih belum mengesahkan surat berkenaan.-UTUSAN











