Negeri pintar, negeri banjir - Utusan Malaysia

Negeri pintar, negeri banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAH datang, hujan turun selama sejam sahaja pun sudah buat air parit dan anak sungai melimpah. Air yang sepatutnya mengalir ke sungai dan seterusnya keluar ke laut, tetapi tersekat di pintu atau kunci air sehingga banyak tempat terjejas terutama di kawasan Sungai Kandis dan Kampung Lombong.

Kenapa air tak lepas tengah hari kelmarin? Sebab air laut pasang, paras sungai tinggi. Ada ke tidak pam air? Ada penduduk kata ada tetapi didakwa rosak, ada juga yang kata tiada. Yalah, kalau tidak, masakan air bertakung tak mengalir, betul tak? Itu di Jalan Kebun, Shah Alam.

Kalau di Ijok dan Jeram lain pula puncanya. Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, ada ban pecah, terus melimpah air dari Sungai Buloh yang menderu dari kawasan tak serap air di hulu kerana Kampung Baru Subang, Merbau Sempak, Denai Alam kemudian di Saujana Aman dan Bandar Seri Coalfields sudah banjir lebih dahulu.

Sekarang lebih 1,000 penduduk di hilir pula menanggung beban banjir termenung. Manakan tidak kalau banjir me­landa ketika cuaca panas, bila hujan lebat turun pada minggu lalu dan hari-hari kemudian, pasti tak sempat surut. Ibarat gelas dah penuh tetapi tetap dituangkan air. Memang termenung penduduk menunggu air surut.

Begitulah lumrah cuaca sekarang di Lembah Klang, kawasan yang dianggap ‘tak serap air’ seperti dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini. Sampai orang kata lebih baik hujan di hilir, kerana kalau di hulu airnya tetap sampai juga di hilir.

Bagaimanapun, dalam keadaan yang tak serap air pun Selangor dapat pengiktirafan Negeri Pintar Malaysia 2026 dalam satu majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Selangor 2026 pada Selasa lalu di sebuah hotel lima bintang yang sepatutnya dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, tetapi beliau memilih untuk tidak hadir dan melawat mangsa banjir di Jalan Kebun, Shah Alam.

Siapa yang datang? Mestilah ‘bos’ pihak berkuasa tempatan (PBT), sebab enam PBT dapat pengiktirafan Bandar Pintar Dinamik Tahap 2 dan enam lain pula diiktiraf sebagai Bandar Pintar Perintis Tahap 1.

Siapa yang dapat tahap dua? Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Yang dapat tahap satu pula, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Dengar pun memang menyakitkan hati, sehingga ada yang membuat tangkap layar hantaran Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim perihal majlis itu dalam media sosial dan diletakkan dalam ruangan komen pada hantaran-hantaran tentang banjir. Bila baca, bertambah sakit hati.

Lebih menyedihkan apabila Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memaklumkan pam berkapasiti tinggi bernilai kononnya RM2 juta sudah diletakkan di Bukit Raja, Klang, pada pagi Isnin, tetapi hari Selasa hujan lebat turun banjir juga dekat persimpangan Lebuhraya Persekutuan di Bukit Raja. Ketiga-tiga pam itu dah hanyut ke?

Maka tidak hairanlah orang marah mengadu ke ADUN kemudian dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), mengadu ke PBT pula tak dapat maklum balas, bertahun-tahun Ijok dan Jeram hadap banjir termenung. – UTUSAN

Mohamad Athir Ismail adalah Wakil Negeri Selangor Utusan Malaysia