PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia-China diteruskan menerusi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wakil enam lagi syarikat dari negara tersebut sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Asia PAsifik (APEC) Ke-33 di Shenzhen, China.
Empat daripadanya ialah syarikat teknologi utama China, iaitu Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).
Dua lagi ialah syarikat Malaysia, Yinson Holdings Bhd dan Mayland Group.
Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan pelaburan yang dibawa masuk bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi malah memberikan manfaat langsung kepada negara dan rakyat.
“Malaysia kekal komited menarik pelaburan berkualiti yang bukan saja memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat bermakna kepada negara dan rakyat.
“Keutamaan kita ialah memastikan pelaburan ini memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi, dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta berkemahiran tinggi, sebagaimana digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.
Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics sedang meneroka peluang membangunkan kemudahan pembuatan peranti perubatan atau hab perkhidmatan di Malaysia.
Pelaburan itu berpotensi membabitkan kerjasama dengan pengilang tempatan serta pembekal komponen dalam rantaian bekalan peranti perubatan.
Dalam sektor bahan termaju dan bateri, Guangzhou Tinci Materials Technology merancang menghasilkan elektrolit serta bahan kimia khusus untuk bateri litium-ion.
XTC New Energy Materials pula merancang melabur dalam kemudahan pengeluaran bahan katod bateri litium-ion di Selangor.
Shenzhen Capchem Technology yang sudah beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah, sedang menilai cadangan memperluaskan kapasiti pengeluarannya.
Syarikat itu mempertimbangkan pembinaan kilang kedua bagi memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara yang semakin berkembang.
“Saya turut memberikan tumpuan kepada peluang untuk syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal,” kata Anwar.
Dalam pertemuan berasingan, Anwar menerima perkembangan terkini daripada Yinson mengenai projek feri elektrik berkuasa bateri di Langkawi.
Yinson diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Lim Han Weng, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Chern Yuan.
Mereka turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility Bhd, Lim Chern Chuen, serta beberapa pegawai kanan syarikat.
Yinson kini sedang menilai cadangan penswastaan oleh konsortium membabitkan Yinson Legacy Sdn Bhd, MISC Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Cadangan itu membabitkan pembelian baki saham Yinson pada harga tunai RM2.50 sesaham dengan nilai transaksi RM4.03 bilion, namun belum diterima dan masih tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
Anwar turut bertemu wakil pemaju hartanah dan pengurus hospitaliti Mayland Group yang diketuai pengasasnya, Tan Sri David Chiu.-UTUSAN











