KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat termasuk pembangkang perlu diberi ruang untuk terlibat dalam pengurusan bencana bagi memastikan bantuan kepada mangsa dapat disalurkan dengan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak 12 September 2022, kerajaan bersetuju supaya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilibatkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di kawasan masing-masing.
Katanya, keputusan itu masih terpakai sehingga kini selepas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi surat bertarikh 11 Oktober 2022.
“Kerajaan menyambut baik komitmen dan kesediaan Ahli Parlimen untuk bersama-sama membantu dalam pengurusan bencana di semua peringkat tanpa mengira fahaman politik.
“Penglibatan ini bertujuan memastikan penyaluran maklumat, penyelarasan tindakan serta pelaksanaan bantuan kepada mangsa bencana dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang mendakwa wakil rakyat pembangkang atau pegawai pusat khidmat mereka tidak pernah dilibatkan dalam jawatankuasa pengurusan bencana daerah.
Ahmad Zahid berkata, keanggotaan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah melibatkan agensi kerajaan serta pentadbiran negeri.
Katanya, bagaimanapun pengerusi jawatankuasa mempunyai kuasa untuk melibatkan pihak lain termasuk wakil rakyat sebagai ahli yang turut hadir.
“Dalam mengurus dan mengurangkan risiko bencana, sememangnya semua pihak dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira warna perlu dilibatkan di dalam setiap fasa pengurusan bencana.
“Pengerusi jawatankuasa perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan pihak-pihak berkepentingan diberi suara dan platform untuk turut bersama-sama di dalam usaha ini,” katanya.-UTUSAN











